Kebangkitan kembali Bahasa Kebangsaan

KEPUTUSAN Kementerian Pendidikan Malaysia untuk tidak mengembalikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sepertimana yang cuba dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) lalu adalah langkah tepat seiringan dengan hasil kajian dalaman bahawa dasar tersebut telah gagal dalam mencapai maksudnya. Keputusan Kerajaan Malaysia dari Perikatan Nasional (PN) ini secara tidak langsung merupakan isyarat kebangkitan semula Bahasa Kebangsaan.

Mengaitkan PPSMI dengan tahap penguasaan Bahasa Inggeris adalah sesuatu yang tidak relevan, apatah lagi jika mahu mengaitkan PPSMI dengan tahap penguasaan sains dan matematik di peringkat sekolah atau subjek berkaitan dengannya di peringkat pengajian tinggi. Penguasaan Bahasa Inggeris berkait rapat dengan pemerkasaan proses pembelajaran dan pengajaran subjek khusus berkenaan. Ia dimantapkan lagi melalui pengamalan bahasa Antarabangsa tersebut sebagai medium komunikasi dalam urusan tertentu.

Namun adalah tidak menghairankan jika rata-rata rakyat kita tidak fasih berbicara dalam Bahasa Inggeris kerana hakikatnya bahasa tersebut bukanlah bahasa asal warga kita (mother tongue) dan negara kita mempunyai Bahasa Kebangsaannya yang tersendiri. Negara-negara maju seperti Jerman, Jepun, Perancis, Korea Selatan dan lain-lain juga mempunyai sebilangan besar populasi rakyatnya yang tidak fasih berbahasa Inggeris.

Advertisement

Tidak fasih berbahasa Inggeris bukan bermaksud langsung tidak faham Bahasa Inggeris. Kerana rakyat di negara-negara maju atau negara yang makin bangkit seperti China, Russia dan Brazil sedar bahawa ilmu dan teknologi itu boleh diterjemahkan dalam bahasa mereka, atau jika perlu, istilah moden dari Bahasa Inggeris boleh dipinjam untuk diselitkan dalam bahasa ibunda mereka tanpa mengorbankan terus penggunaan Bahasa Kebangsaan mereka.

Dan adalah dangkal jika kita menganggap ketidak-fasihan berbahasa Inggeris sebagai lambang rendahnya tahap intelektual seseorang itu dalam negara ini. Agak malang sebenarnya negara kita selama ini terlampau mengagung-agungkan Bahasa Inggeris sehingga ada yang mengaku sebagai warganegara Malaysia tetapi bukan sahaja tidak fasih Berbahasa Kebangsaan malah tidak faham beberapa istilah dan perumpamaan yang biasa digunakan dalam Bahasa Melayu, apatah lagi untuk memahami loghat-loghat unik dalam Bahasa Kebangsaan tersebut.

Seolah-olah pihak yang berkuasa dalam negara kita dahulu dengan sengaja membiarkan Bahasa Kebangsaan diperlekeh secara terbuka dalam urusan-urusan rasmi tertentu, terutama dalam sektor swasta. Bagaikan tidak ada sebarang akta untuk benar-benar menguatkuasakan penggunaan Bahasa Kebangsaan sepertimana tegasnya Kerajaan Thailand dan Indonesia yang berjiran dengan kita itu dalam perihal menjaga pengaruh Bahasa Kebangsaan mereka. Adakah negara-negara jiran kita itu makin mundur?

Oleh kerana Bahasa Kebangsaan kita sering dianak-tirikan, dipinggirkan malah dibunuh penggunaannya oleh sesetengah bangsa sendiri yang tidak sedar diri bahawa mereka itu bukan sahaja warga Malaysia malah berketurunan Melayu, maka jurang antara golongan rendah dan atas makin melebar. Golongan elit nampaknya lebih selesa berbahasa Inggeris walaupun di dalam rumah. Segala catatan ilmu, kemahiran dan berita terbaru dalam hal ekonomi dan teknologi dibiarkan berputar dalam Bahasa Inggeris sahaja tanpa ada usaha serius pihak berwajib untuk menterjemahkannya dalam Bahasa Kebangsaan secepat mungkin.

Kesan dari persepsi bahawa Bahasa Kebangsaan tiada nilai ekonomi dan tiada nilai kemajuan teknologi menyebabkan wujudnya golongan tertentu dalam negara ini yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah Antarabangsa yang menggunakan Inggeris sebagai medium utama komunikasi. Maka lahirlah generasi baru warga Malaysia yang dari kecil lagi kekok untuk bergaul dengan pelbagai peringkat masyarakat, malah tidak lagi berbicara dalam Bahasa Kebangsaan.

Antara kesan positif pemerkasaan Bahasa Kebangsaan selain dari mengeratkan tahap kefahaman dan persaudaraan antara warganegara ialah ia secara tidak langsung mengurangkan jurang status sosial dalam masyarakat lantas mampu mempercepatkan perkongsian ‘kek’ ekonomi serta penguasaan teknologi terkini secara adil dan menyeluruh. Dengan kata lain, golongan bawah boleh lebih memahami golongan atas dan sebaliknya.

Sebagai contoh di Indonesia, jika doktor pakar berbicara mengenai penyakit sesama doktor yang lain di hadapan pesakit mereka, biasanya pesakit mereka mampu memahami walaupun tidak secara keseluruhannya mengenai status penyakit mereka. Ini kerana penggunaan bahasa yang sama dalam segenap lapisan masyarakat di negara tersebut iaitu Bahasa Indonesia. Di sini kita wajar mencontohi Indonesia sebagai negara serumpun dalam memartabatkan bahasa ibunda tanpa kompromi.

DR. MUHAMMAD FAIZ NA’AMAN
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi
Parti Pribumi Bersatu Malaysia
17 Julai 2020 – HARAKAHDAILY 17/7/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.