Komited perangi rasuah, RUU kawal dana politik

KUALA LUMPUR: Kerajaan Perikatan Nasional komited menentang dan membanteras rasuah serta akan meneruskan usaha untuk meningkatkan tadbir urus dan integriti melalui pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023.

Advertisement

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan komitmen tersebut semasa menjawab soalan berkaitan diajukan Datuk Azizah Mohd DUN (BN-Beaufort) pada Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, di sini semalam.

Tegas beliau, hak tersebut bagi meningkatkan kecekapan dan ketelusan pengurusan kerajaan berteraskan prinsip governance, integriti dan anti rasuah dengan menyusun inisiatif dan strategi yang berkaitannya.

“Bagi memastikan hasrat murni kerajaan ini dapat dilaksanakan secara tersusun dan berkesan, peranan Pusat Governance Integrity, dan Anti-Rasuah (GIACC) sebagai Sekretariat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) dikekalkan.

“JKKMAR dipertanggungjawabkan menyelaras pelaksanaan, memantau dan menilai keberkesanan semua inisiatif berkaitan Governance Integrity dan Anti-Rasuah (GIACC) di semua sektor sama ada kerajaan mahupun swasta.

“Manakala Jawatankuasa Anti-Rasuah (JAR) yang dilaksanakan di beberapa peringkat kementerian dan jabatan juga akan diteruskan bagi memastikan dasar yang dibuat tidak berkompromi kepada sebarang tindakan rasuah.

“Kerajaan akan terus memantau semua inisiatif di bawah JKKMAR dan NACP bagi memastikan pelaksanaannya membawa impak yang positif kepada negara,” jelas beliau.

Kata Muhyiddin (BN-Pagoh), semua peningkatan dan usaha kerajaan arah membanteras amalan rasuah dan salah guna kuasa akan diberikan penekanan oleh Kerajaan Perikatan Nasional melalui dasar-dasar yang telah dipersetujui.

Perkara itu maklumnya, seperti yang dinyatakan dalam Inisiatif NACP 2019-2023 termasuk inisiatif NACP berasaskan laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melalui penyataan United Nations Convention On Anti-Corruption.

Terangnya, semua itu dibuat dengan mengambil kira piawaian Laporan Antarabangsa PBB melalui UNCAC, namun, perkara-perkara yang telah dirangka tidak mengabaikan piawaian daripada konteks amalan tempatan.

Kerajaan juga kemukanya, mengambil maklum keperluan untuk mewujudkan rang undang-undang yang mengawal sumbangan politik di mana secara amnya telah dinyatakan di bawah inisiatif 1.2.5 NACP.

“Setakat ini dasar sumbangan politik dalam kerangka undang-undang telah pun dikemukakan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-undang Parlimen, di bentang 7 November 2019 dalam pentadbiran yang dahulu.

“PAC telah diminta untuk menyediakan laporan berkaitan dengan dasar sumbangan politik kepada kerajaan sebelum Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14.

Namun, setakat 16 Julai ini Tuan Yang di-Pertua, GIACC sebagai penyelaras Rang Undang-undang Sumbangan Politik ini masih belum menerima apa-apa laporan tersebut daripada PAC, saya kira ialah kerana PAC baharu sahaja dibentuk baru-baru ini.

“Jadi mengambil kira keadaan semasa, PAC akan meneruskan penyediaan laporan berkaitan dengan dasar sumbangan politik ini dan mengemukakannya kepada kerajaan bila siap nanti, insya-Allah,” jawabnya. – HARAKAHDAILY 17/7/2020