PR PBT: Mengundang malapetaka negara

KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) pada hari ini perlu bebas dari sebarang doktrin Pakatan Harapan (PH) sebelum ini yang membawa agenda kepentingan tertentu sehingga merugikan negara dan menjadi jurang perpecahan kaum.

Advertisement

Kenyataan dari Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang menyatakan hasrat meneruskan usaha bagi mengadakan Pilihan Raya PBT susulan menjawab soalan di Parlimen yang diajukan oleh Ahli Parlimen Bukit Bendera dari DAP adalah satu kenyataan yang dipertikai dan tidak wajar.

Kerajaan PN pada hari ini sewajarnya meneruskan fokus membangunkan kembali perpaduan antara kaum dan mengurangkan jurang perbezaan ekonomi antara kaum. Sedangkan Pilihan Raya PBT yang kali terakhir diadakan pada 1965 sebelum digantung adalah kerana sebab bagi mengelakkan perpecahan antara kaum.

Jika hasrat meneruskan usaha mengadakan kembali Pilihan Raya PBT dilaksanakan juga, maka Kerajaan PN telah mengambil langkah ke belakang yang tidak mempunyai sebarang faedah malah hanya mengundang impak negatif.

Selain isu perpecahan dan jurang perbezaan ekonomi antara kaum, langkah mengadakan kembali Pilihan Raya PBT hanya mengundang pembaziran kos. Sedia maklum, sesuatu pelaksanaan pilihan raya harus menelan perbelanjaan yang besar malah menghabiskan tenaga banyak pihak. Sedangkan situasi pasca COVID-19 menunjukkan rakyat sedang berhadapan kemelut ekonomi yang mesti dipulihkan kembali dengan segera.

Selain itu, Pilihan Raya PBT dibimbangi menjadi medan meneruskan kelangsungan kepentingan pihak DAP kerana sedia maklum komposisi kaum di bandar lebih kepada kaum Cina berbanding Melayu dan India. Jika ini situasinya maka dasar ‘pecah dan perintah’ yang dibawa oleh pihak penjajah akan kembali merosakkan perpaduan dan keharmonian antara kaum yang telah sekian lama dibina.

YB DATO DR AHMAD YUNUS HAIRI
Pesuruhjaya PAS Selangor
26 Zulkaedah 1441H | 17 Julai 2020 – HARAKAHDAILY 17/7/2020