Sekuriti bahan perubatan, kesihatan negara

PELBAGAI hikmah dan pengajaran yang boleh kita ambil dari wabak Covid-19 ini antaranya dari aspek sekuriti bekalan makanan serta sekuriti (stockpile) bahan perubatan dan kesihatan.

Advertisement

Secara keseluruhan, Malaysia berjaya mengawal ancaman wabak ini dengan cemerlang diiktiraf diperingkat dunia dan menjadi model pengurusan wabak dunia. Terima kasih dan tahniah kepada pihak kerajaan dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin telah meletakkan isu kesihatan dan keselamatan rakyat diutamakan berbanding isu-isu politik. Rakyat Malaysia adalah hero yang berdisiplin.

Melihat kepada sejarah ancaman wabak, hampir kesemua wabak menyerang sistem pernafasan manusia. Wabak moden ini bermula dari SARs, H1N1, H5N1, MerCoV dan kewujudan senjata biokimia juga seperti antraks menyerang sistem pernafasan. Sistem pernafasan adalah sangat sensitif dan boleh memberi kesan berpanjangan serta mudah merebak.

Cadangan bagi kerajaan untuk melihat bukan hanya berkenaan sekuriti makanan tetapi perlu juga melihat sekuriti bahan dan peranti perubatan. Kebergantungan kita kepada import adalah tinggi dalam urusan kesihatan terutama peranti perubatan dan barangan pakai habis perubatan.

Dalam keadaan Malaysia sudah mula menggiatkan kembali ekonomi, saranan untuk menjemput pelabur-pelabur dalam bidang perubatan ini dibuka seluasnya terutama kepada pembuatan peranti perubatan dan barangan pakai habis berkaitan pernafasan contohnya tiub pernafasan, pelitup muka, masker oksigen dan juga ventilator. Kerjasama kerajaan dan swasta amat diperlukan untuk melancarkan proses ini. Sebenarnya, banyak pengilang kita dari Malaysia mempunyai keupayaan ini termasuk beberapa pengilang adalah pembuat kepada komponen penting untuk kegunaan peranti perubatan kegunaan luar negara (Eropah dan AS).

Sememangnya sebelum ini, kerajaan ada menjalankan inisiatif program ‘off-take’ ubat dan peranti perubatan tetapi perlu disemak semula dan dikawal selia secara berkala. Tahniah juga kepada Top Glove dan Hartalega kerana menjadi pemangkin dalam industri sarung tangan perubatan.

Harapan kita untuk melihat dan menjadikan Malaysia sebagai Hab Pengeluar Peranti Perubatan di Asia di bawah Asian Rapid Response Program yang dibincangkan dan komitmen oleh Perdana Menteri dalam dialog bersama Pemimpin Negara Asean pada bulan April lalu. Kelebihan kita dengan syarikat komponen yang sedia ada serta polisi kerajaan yang mesra pelabur harus digunakan sebaik mungkin. Koordinasi dengan kementerian-kementarian terlibat seperti KKM, MiTI, MoSTI, dan agensi seperti MARA, SME Bank bersama pemain industri perlu ditubuhkan sekreteriat khas untuk melihat kelancaran program ini.

BADZLI BAKAR
Bendahari
Malaysia Smart Cities Alliance (MSCA)
Exco (Kesihatan)
Malaysia Association of Facility Management (MAFM)- HARAKAHDAILY 17/7/2020