Dr Noor Hisham, KKM terima anugerah BrandLaureate

PUTRAJAYA: Kepimpinan cemerlang Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bersama petugas barisan hadapan menangani penularan pandemik COVID-19 di Malaysia mendapat pengiktiraf dunia apabila beliau dinobatkan Anugerah BrandLaureate – Kecemerlangan Jenama Kepimpinan 2020.

Advertisement

Selain Dr Noor Hisham, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga mendapat pengiktirafan Anugerah BrandLaureate – Sijil Pengiktirafan dan Penghargaan sebagai Penyampai Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Cemerlang.

Dalam majlis di KKM di sini hari ini, Dr Noor Hisham menerima kedua-dua anugerah tersebut yang disampaikan oleh Presiden Yayasan Jenama Dunia, Dr KK Johan dan Pengerusinya, Tan Sri Rainer Althoff.

Sebelum menerima anugerah tersebut, Dr Noor Hisham dalam ucapannya, berkata kedua-dua anugerah tersebut mencerminkan dedikasi, komitmen, pengorbanan dan ketahanan setiap individu di KKM serta pelbagai agensi untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara.

“Kami di sini bukan untuk populariti tetapi yang lebih penting adalah menyelamatkan negara dalam krisis,” katanya dalam ucapan terima kasih bagi pihak barisan depan atas pengiktirafan itu.
 
Sementara itu, Althoff, berkata Malaysia berjaya meratakan lengkungan graf pandemik COVID-19 dan ini semua disebabkan usaha gigih pasukan KKM di bawah kepimpinan Dr Noor Hisham.

“Anda dan pasukan anda berhasil. Anda menemukan resipi kejayaan dalam meratakan lengkungan serta menunjukkan amalan terbaik dalam komunikasi,”  katanya. – BERNAMA