MAFI atasi kekosongan Penolong Pegawai Pertanian

KOTA BHARU: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan mengatasi masalah kekosongan jawatan penolong pegawai pertanian di seluruh Malaysia bagi mengoptimumkan prestasi sektor pertanian negara.

Advertisement

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata sehingga kini terdapat sebanyak 215 kekosongan jawatan penolong pegawai pertanian di seluruh negara. 

Katanya perkara ini telah dibangkitkan oleh Presiden Kesatuan Penolong Pegawai Pertanian Semenanjung Malaysia A Hadi Kamil Ismail untuk menyelesaikan isu ini dalam tempoh terdekat bagi usaha untuk meningkatkan lagi prestasi dan peranan mereka dalam sektor pengeluaran makanan.

“Kita akan memberi perhatian kepada perkara ini dan berbincang dengan kementerian untuk mengatasi masalah kekosongan jawatan yang belum diisi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Amanat dan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Dwitahunan Kesatuan Penolong Pegawai Pertanian Semenanjung Malaysia Cawangan Kelantan Kali ke-29 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong di sini hari ini.
 
Hadir sama Presiden Kesatuan Penolong Pegawai Pertanian Semenanjung Malaysia A Hadi Kamil Ismail.

Untuk rekod sehingga kini terdapat 947 ahli Kesatuan Penolong Pegawai Pertanian Semenanjung Malaysia dan daripada jumlah berkenaan 83 ahli berada di Kelantan.

Dalam perkembangan lain Che Abdullah berkata pegawai atau penolong pegawai pertanian juga layak digelar sebagai petugas barisan hadapan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu ketika membendung penularan wabak pandemik COVID-19.

“Mereka ibarat wira yang tidak didendang, sedangkan mereka juga  merisikokan kesihatan mereka bagi memastikan bekalan makanan mencukupi dan pihak kementerian turut menghargai peranan dan usaha mereka dalam memastikan pengeluaran makan berterusan sepanjang PKP lalu,” katanya.

Dalam perkembangan lain beliau berkata sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang isu berbangkit mengenai keperluan bekalan makanan menjelang Hari Raya Aidiladha nanti dan pihaknya juga akan memastikan bekalan keperluan mencukupi. – BERNAMA