Celikkan minda wanita terhadap politik – Dr Rosni

BATU: Muslimat PAS mempunyai peranan besar untuk mencelikkan minda wanita Malaysia terhadap kepentingan ilmu politik dalam kehidupan yang disuluh menurut neraca Syariah.

Advertisement

Timbalan Ketua Muslimat PAS Malaysia, Dr Rosni Adam berkata demikian dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Muslimat PAS Kawasan Batu Kali Ke-32 di Taman Batu Muda, di sini semalam.

“Ilmu politik atau ilmu siasah adalah ilmu urus tadbir. Seluruh aspek kehidupan kita perlu diurus dan ditadbir, apatah lagi sebuah negara. Sebab itu, setiap dari kita mesti celik ilmu politik.

“(Begitu juga setiap) Muslimat PAS mesti mengambil peranan untuk memahamkan masyarakat di luar sana terutamanya para wanita agar celik politik,” ujarnya merangsang motivasi.

Menurutnya, bagi menjayakan komitmen tersebut, Muslimat PAS hendaklah memulakan usaha dengan membina sebuah keluarga Muslim haraki agar seluruh ahli keluarga dapat digerakkan untuk perjuangan PAS.

“Tugas besar ini sudah tentu tidak dapat dilaksanakan tanpa bantuan Allah. Oleh itu, para Muslimat hendaklah memperbanyakkan doa dan menjalankan amal ibadah yang mendekatkan diri dengan Allah S.W.T,” nasihatnya memandu pembinaan kekuatan diri.

Dalam ucapan tersebut beliau turut mengingatkan para perwakilan dan pemerhati agar istiqamah dengan gerak kerja PAS yang merangkumi tiga aspek teras iaitu tarbiyah, dakwah dan siyasah.

“Gerak kerja PAS adalah sepanjang tahun dan bukan sekadar semasa musim pilihan raya sahaja. Gerak kerja PAS adalah ibadah, maka ia amalan sepanjang masa.

“Sebab itu kita hendaklah sentiasa memperbaharui niat dalam melakukan gerak kerja agar semuanya kerana Allah S.W.T untuk terus istiqamah,” ulasnya di akhir ucapan. – HARAKAHDAILY 19/7/2020