Komited atasi kemiskinan rakyat Perak

IPOH: Menjaga kebajikan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah termasuk kaum wanita menjadi tumpuan utama Kerajaan Negeri Perak.

Advertisement

Sehubungan dengan itu, Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat sedang merangka hala tuju portfolio berkenaan selain mengadakan beberapa program berkaitan.

Usaha ini antaranya ke arah mengurangkan kadar kemiskinan rakyat melalui perancangan pembangunan strategik untuk meningkatkan pendapatan rakyat.

Pengerusinya, Dato’ Dr Wan Norashikin Wan Noordin, Kerajaan Negeri bersedia dengan jangkaan peningkatan kadar kemiskinan dan miskin tegar di negeri Perak dan merangka pelan holistik bagi tujuan itu.

“Jabatan Perangkaan Malaysia mengumumkan Pendapatan Garis Panduan Kemiskinan (PGK) keseluruhan nasional adalah sebanyak RM2,208 sebulan bagi isi rumah yang sebelum ini RM980,” kata beliau.

Menurutnya, semakan tersebut adalah selaras dengan tekanan semasa terhadap pengambilan makanan yang optimum selain keperluan bukan makanan berkualiti.

Pihaknya dalam usaha mengatasi kemiskinan masyarakat Perak termasuk kalangan isi rumah yang diketuai oleh wanita atau ibu tunggal khususnya di luar bandar.

Antara inisiatif Kerajaan Negeri bagi membantu dan memperkasa golongan ini adalah seperti program Perak Prihatin, Takaful Tabarru’ Khairat Kematian Negeri Perak, Harapan Kasih ‘Food Bank’ dan Pemeriksaan Mamogram Secara Percuma Wanita Negeri Perak.

Kerajaan Negeri juga katanya, turut berhasrat untuk menubuhkan satu agensi atau institusi bagi menyelaraskan dasar dan polisi berkenaan pembangunan wanita dan sosial.

Maklumnya, ia akan berada di bawah seliaan beliau bagi menangani isu berkenaan wanita, masyarakat dan kebajikan sosial.

Terdahulu pada 22 November tahun lalu, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 semasa pembentangan Bajet Negeri Perak 2020 bagi mewujudkan Institusi Pembangunan Sosial Negeri Perak. – HARAKAHDAILY 19/7/2020