PN platform terbaik PRU15, pilihan utama rakyat

PARIT: Perikatan Nasional (PN) merupakan wadah terbaik untuk menjadi pilihan kepada bukan sahaja orang Melayu-Islam, tetapi juga masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini dalam menghadapi PRU15.

Advertisement

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib berkata, perkara tersebut dapat dilihat dari reaksi rakyat Malaysia yang umumnya menyenangi pendekatan dibawa PN dalam pemerintahan sejak Mac lalu.

Beliau selaku juga Yang DiPertua PAS Kawasan Parit menerangkan, prestasi Kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berjaya mendepani pandemik COVID-19 menjadi antara faktor dinilai baik oleh rakyat.

Sebaliknya rakyat ujar beliau, sudah muak dengan sikap politikus yang hanya bertelagah berebut kuasa sehingga mengkucar-kacirkan pentadbiran negara dan menyebabkan kepentingan rakyat kebanyakan terabai.

“Apatah lagi dalam Islam, kita dituntut untuk bersatu-padu dan ditegah sama sekali dari berpecah dan bercerai-berai,” ujar beliau dalam Liqa’ Fikri PAS Parit di Markas Tarbiyah PAS Parit, Titi Gantong, di sini semalam.

Mengikut sejarah, PN merupakan gabungan politik paling besar pernah diadakan melibatkan PAS, Umno, BERSATU, MCA, MIC serta parti-parti terbesar dari Sabah dan Sarawak termasuk pimpinan dari beberapa parti politik lain.

Ia disifatkan Ustaz Ismi sebagai satu kekuatan yang dilihat rakyat boleh menjadi sebagai peneraju kestabilan politik serta keseimbangan dan keharmonian masyarakat majmuk negara ini. – HARAKAHDAILY 19/7/2020