Sedia berkorban dan menempuh ujian

PASIR SALAK: Ramai yang boleh mengorbankan harta termasuk lembu berpuluh-puluh ekor, tetapi belum tentu berupaya berkorbankan perasaan, masa dan waktu, demikian kata Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad.

Advertisement

Penyataannya itu diungkapkan kembali Ketua Pemuda PAS Kawasan Pasir Salak, Ustaz Zafarul Azhan Zan dalam ucapannya pada Majlis Mesyuarat Agong Tahunan Pemuda PAS Pasir Salak Kali Ke-32 di Kampung Gajah, di sini pagi semalam.

Beliau menyatakan lagi, bagi melaksanakan tanggungjawab dalam parti, pasti memerlukan pengorbanan terutamanya masa dan waktu yang diperuntukkan untuk hadir ke program-program telah direncanakan.

Kehadiran para Pemuda dalam majlis ini menurutnya telah menunjukkan bahawa mereka sanggup mengorbankan masa yang mana kebiasaannya melakukan pelbagai urusan seperti berkebun, bertani dan aktiviti harian.

“Keadaan seperti ini amat diperlukan demi melihat Parti Islam Se-Malaysia terus maju ke hadapan, terus membawa matlamat daulah Islamiah ‘berkorbanlah wahai yang beriman, dengan harta dan segenap kepunyaan’,” ulasnya.

Petikan bait-bait daripada lagu rasmi PAS itu dipetiknya dalam ucapan itu dengan harapan ia akan terus tertusuk ke dalam jiwa anak muda agar sentiasa bangkit dengan semangat melangsungkan perjuangan.

“Seperti yang telah dilaungkan dalam perjuangan kita ‘biar syahid atau kemenangan’, Allah telah memberikan hadiah yang tidak disangka apabila kini (apabila) PAS sudah berada ditampuk kerajaan bukan dengan pilihan raya.

“Ini bukanlah suatu keselesaan tapi ia merupakan ujian yang lagi besar berbanding menjadi pembangkang kerana melaksanakan sesuatu perkara itu lagi besar daripada memberi pendapat, cadangan dan kritikan,” nasihatnya.

Beliau yang juga seorang guru, mengingatkan bahawa parti ini bukan sahaja bertunjangkan dakwah semata-mata, tetapi tarbiyah dan siasah untuk dipenuhi tanggungjawabnya oleh setiap anggota.

“Jika dilihat ramai yang terlepas pandang tentang siasah terutama apabila telah merangkul jawatan atau berada dalam pentadbiran yang mana kita boleh tersungkur dengan ujian seperti itu,” ujarnya lagi menyingkap kembali kisah teladan di zaman para Nabi yang mana Firaun tergolek dengan ujian jawatan begitu juga Qarun tersungkur dengan ujian harta.

Beliau mengharapkan agar iman para Pemuda PAS terus terpelihara Allah dalam sebarang keadaan terutama apabila berada dalam kerajaan. – HARAKAHDAILY 19/7/2020