APMM tahan tujuh bot, 86 nelayan Vietnam

Sebahagian dari 86 awak-awak dan tekong yang ditahan penguasa APMM.

KUALA TERENGGANU: Sebanyak tujuh bot nelayan asing dari Vietnam ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menerusi ‘Op Kuda Laut’ yang dilaksanakan bermula akhir Jun lalu.

Pengarah APMM Terengganu, Kapten Maritim, Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, ‘Op kuda Laut’ itu bertujuan mengekang pencerobohan nelayan asing di perairan negara ini.

Advertisement

Katanya, dalam operasi itu pihak berkuasa APMM berjaya merampas hasil laut berupa ikan berkualiti, ikan baja dan ikan campur seberat lima tan.

“Turut dirampas peralatan menangkap ikan bernilai RM10.5 juta termasuk rampasan diesel 10,000 liter.

“Semua bot terbabit ditahan di tujuh lokasi berasingan oleh tiga Kapal Maritim (KM) iaitu Tegas, Mulia 2 dan Gemia yang menjalankan operasi selama tiga hari bermula Khamis hingga Sabtu di lokasi antara 115 batu nautika hingga 134.5 batu nautika dari muara Kuala Terengganu,” ujarnya dalam satu semalam.

Kapten Maritim, Muhammad Suffi, berjaya tahan tujuh bot nelayan asing Vietnam.Muhammad Suffi Mohd Ramli

Menurut Muhammad Suffi, seramai 86 awak-awak termasuk tekong yang berusia 16 hingga 68 tahun berjaya ditangkap dalam operasi antara 8.45 malam hingga 3.00 pagi tersebut.

“Mereka ditahan kerana tiada lesen dan pengenalan diri serta tiada kebenaran melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan Malaysia.

“Semua tahanan di bawa masuk ke Jeti Maritim Negeri Terengganu untuk proses saringan Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kes kemudian diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia,” jelasnya.

Kata beliau, sejak ‘Op Kuda Laut’ dilancarkan pada 24 Jun lalu, pihak penguasa APMM telah berjaya menahan 25 bot nelayan Vietnam di perairan Terangganu yang membabitkan penahanan 281 awak-awak dan tekong warga Vietnam.

Menurut beliau lagi, APMM akan terus melaksanakan rondaan di perbatasan sempadan negara bagi menghapuskan pencerobohan nelayan asing khasnya dari Vietnam.

Katanya, nelayan asing dari Vietnam itu tidak serik memasuki perairan negara dan mengaut hasil laut secara haram.- HARAKAHDAILY 20/7/2020