Bina 3,000 RMR tahun depan

GERIK: Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan memohon peruntukan sebanyak RM320 juta dari kerajaan bagi membina 3,000 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) 2020 pada tahun depan.

Advertisement

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr Ismail Abd Mutalib berkata, peruntukan itu penting kerana kini terdapat seramai 5,530 pemohon masih menunggu untuk mendapatkan RMR.

Beliau berkata RMR 2020 menjadi rebutan khususnya bagi golongan B40 kerana harganya yang murah iaitu RM75,000 dan reka bentuk terbaharu RMR yang cantik selain pemohon akan turut menikmati subsidi RM20,000 daripada kerajaan. 

“Pemohon hanya perlu membayar ansuran sebanyak RM300 sebulan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Jom Raikan RMR 2020 di Dewan Serbaguna Majlis Derah Gerik di sini semalam.

Pada majlis itu, seramai 15 pemohon dalam Parlimen Gerik menerima surat kelulusan RMR 2020 dan empat pemilik RMR menerima sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) SPNB.
 
Ismail berkata pembinaan RMR akan memberikan kemudahan kepada rakyat terutama di kawasan luar bandar untuk memiliki kediaman sendiri dengan syarat mereka mempunyai tanah untuk membina rumah.

Beliau berkata SPNB akan melantik kontraktor yang berwibawa untuk membina rumah RMR supaya pemohon tidak menghadapi masalah. 

Mengenai bayaran pinjaman SPNB yang tertunggak, Ismail berkata jumlahnya hanya empat peratus dan ia adalah masalah kecil. – BERNAMA