GAMIS rayu LKPU selesaikan pengiktirafan

KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) menuntut pihak Lembaga Kelayakan Profession Undang-Undang (LKPU) menyelesaikan segara penangguhan pengiktirafan penuh Sarjana Muda Undang-Undang dan Syariah (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Presidennya, Saifullah Baiduri berkata setelah meneliti perkembangan isu dan mendapatkan pencerahan daripada kumpulan graduan yang terkesan dengan isu ini, pihaknya melihat keperluan besar untuk LKPU menyelesaikan segara kemelut konflik ini.

Advertisement

“Permohonan pengiktirafan bagi kursus yang mendapat akreditasi MQA ini bermula sejak tahun 2010 dan terus berlanjutan sehingga ke hari ini tanpa ada satu penyelesaian yang memuaskan semua pihak.

“GAMIS melihat keperluan besar pengiktirafan penuh terhadap kursus ini supaya nasib graduan undang-undang USIM tidak terus dibiar tergantung tanpa tali sehingga mereka tidak dapat menjadi pengamal undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Saifullah, pihaknya akan bersolidariti dan mengumpul suara mahasiswa yang bersama-sama memperjuangkan isu ini.

“GAMIS menyeru agar graduan-graduan yang terkesan dengan isu ini terus berjuang demi masa depan bakal graduan undang-undang USIM pada masa akan datang,” ujarnya.

Berikutan itu, pihaknya mencadangkan supaya LKPU segera mengatur lawatan susulan selewat-lewatnya pada bulan Ogos ini dan mengeluarkan keputusan pengiktirafan penuh menjelang bulan September.

Jelasnya, kelewatan LKPU menyelesaikan kemelut konflik ini hanya akan memburukkan keadaan dengan penambahan bilangan graduan saban tahun.- HARAKAHDAILY 20/7/2020