Harakah sahabat akrab Perikatan Nasional

BIARPUN ada akhbar arus perdana terpaksa gulung tikar akhir tahun lepas, sebaliknya akhbar dwi mingguan politik milik PAS terus mengorak langkah.

Akhbar itu terus dipacu selepas melewati usia kelahiran pada 1987. Harakah terus melangkah biarpun ketua pengarangnya bertukar ganti.

Dua minggu lepas kita dikejutkan dengan kematian pengasasnya Subky Abdul Latif. Istimewanya Pak Subky istiqamah bersama Harakah sehingga akhir usia.

Advertisement

Sedangkan ada rakan-rakan editor kanan yang pernah menjulang Harakah ke kemuncak, akhirnya menukar wadah perjuangan. Apa pun Harakah masih lagi berhayat sehingga sekarang.

Semalam dan kelmarin berkumpul karyawan Harakah dari seluruh negara. Lebih 30 karyawan Harakah bermula dari atas ke bawah berkumpul di Kemaman.

Di tepi Laut China Selatan dengan deretan kapal berlabuh tidak jauh dari Pelabuhan Kemaman, Harakah cuba dipacu dengan semangat baharu.

Meneruskan sisa usia surat khabar ketika industri media di seluruh dunia merudum, terlalu sukar untuk dicari rumusan.

Namun Harakah berbeza dengan akhbar lain. Ahli dan penyokong PAS berada di belakang tabir. Ketika ramai anak muda lari ke media sosial, namun pendukung PAS tetap membelek helaian demi helaian akhbar Harakah.

Bagi golongan veteran dan pertengahan menatap akhhbar di lembaran kertas ada kepuasan. Jauh berbanding menatap ‘handphone’ yang ‘menyenak’ mata.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Harakah Kamaruzaman Mohamad, Harakah perlu dipacu sebagai syarikat media yang disegani di negara kita.

Ia bukan lagi sekadar angan-angan. Sebaliknya ada asasnya. Ahli PAS sekarang lebih 700,000 orang yang bermukim di 7,000 cawangan.

Kita andaikan hanya 10 peratus daripada jumlah itu menjadi pelanggan tetap Harakah, ia sudah cukup berbaloi.

Dengan edaran sekitar 70,000 naskhah setiap edisi sudah tentu boleh mengembalikan PAS ke era kegemilangan. Jumlah itu boleh menjejaki sehingga 560,000 naskhah dalam tempoh sebulan.

Ia tidak sukar. Malah PAS Kuala Terengganu pernah melanggan 2,400 naskhah Harakah sebelum PRU 14, ternyata ia berbaloi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkongsi pengalaman itu pada retreat Harakah Sabtu lepas. Kejayaannya dapat disimpulkan apabila PAS kembali mentadbir Terengganu pada 9 Mei 2018.

Mahukah kejayaan itu diulangi. Sudah tentu. Tetapi kita perlu ingat, hari ini PAS bukan lagi pembangkang. PAS bersama BN, Bersatu, GPS, STAR, PBRS, PBS dan seorang Bebas berkubu di Putrajaya.

Cuba buat andaian lain. Sekiranya rakan-rakan Perikatan Nasional (PN) juga setuju, apa kata Harakah juga jadi media mereka.

Tiada parti dalam PN yang memiliki media sendiri kecuali PAS. Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia juga sudah lama tiada. Apa kata kita jadikan Harakah sebagai rakan PN.

Kata pengerusi Harakah Ustaz Idris Ahmad, Harakah akan sediakan halaman khas untuk PN. Mengulangi apa yang pernah berlaku sebelum ini. Koridor Pakatan Rakyat bertapak di halaman Harakah dalam tempoh begitu lama.

Apa salahnya sekarang kita mulakan normal baharu. Jadikan Harakah sebagai Sahahat PN. Sekarang adalah masa terbaik bergerak ke arah itu.

M FAQIH- HARAKAHDAILY 20/7/2020