Misi kebajikan curah kasih pada yang lain

TELUK INTAN: Ahad merupakan hari bersama keluarga kepada kebanyakan wanita, tetapi tidak bagi Skuad Prihatin Lajnah Kebajikan Dewan Muslimat PAS Teluk Intan yang giat meneruskan misi ziarah prihatin ke Batu 2 1/2, Jalan  Maharajalela, di sini semalam.

Advertisement

Inisiatif untuk menjengah golongan kurang berkemampuan itu kali ini diketuai oleh Setiausaha Muslimat PAS Teluk Intan, Noor Saadah Abas dan Ketua Skuad Prihatin, Robainah Ismail dan beberapa Jawatan Kuasa Lajnah Kebajikan.

Menurut Robainah Ismail, keluarga-keluarga yang telah diziarahi dan diserahkan bantuan berupa barangan dapur kebanyakan mereka terdiri daripada ibu tunggal, golongan kurang upaya dan pesakit kronik.

Antara rumah yang diziarahi ialah Daud Bidin, 63 tahun yang kini menggunakan kaki palsu dan isterinya juga telah dipotong jari kakinya di mana hidup tinggal bersama anak dan menantu yang mempunyai anak kelainan upaya.

Manakala seorang ibu tunggal Norizah Bidin yang cacat fizikalnya sejak lahir telah diceraikan suaminya kini tinggal bersama anaknya berusia 16 tahun dan seorang abangnya seorang penagih dadah.

Namun, demi menyara kehidupan anak dan abangnya, beliau bekerja di sebuah kilang dengan gaji yang rendah.

Ziarah Skuad Prihatin turut menempuh cabaran terpaksa melalui jambatan reput untuk sampai ke rumah Ros Abu, orang kelainan upaya akibat kemalangan pada tahun 1989 iaitu 31 tahun yang lalu.

Beliau tidak lagi mampu bekerja kini ditanggung isterinya yang bekerja disebuah kedai makan di mana walaupun mendapat bantuan SOCSO tetapi masih belum mencukupi untuk menyara kehidupannya dan tiga anak bersekolah.

Rata-rata mereka yang diziarahi melahirkan kesyukuran atas keprihatinan Muslimat PAS terhadap keperitan hidup mereka. – HARAKAHDAILY 20/7/2020