Muslimat Pekan santuni muallaf Kg Dusun

PEKAN: Lajnah Dakwah Dewan Muslimat PAS Kawasan Pekan telah menggerakkan kelangsungan pelaksanaan agenda dakwah dengan menyantuni keluarga muallaf di Kampung Dusun, Chini, di sini kelmarin.

Advertisement

Usaha ini menyerlahkan komitmen dan bukti bahawa tanggungjawab PAS kepada hal ehwal masyarakat tidak terhad dan terhenti hanya kepada undi di mana PRK DUN N.23 Chini baru sahaja berakhir dengan kemenangan.

Atas amanah memanjang dan meninggikan agama Allah S.W.T serta risalah Nabi Muhammad S.A.W, delegasi dakwah ini telah masuk ke penampatan Orang Asli di kampung tersebut yang terletak 16 kilometer dari Pusat Bandar Chini.

Di sini terdapat 12 keluarga yang telah terdahulu mentauhidkan Allah termasuk antaranya keluarga Muhammad Sabri Soda di mana mereka melafaz syahadah menerusi Street Dakwah diadakan tahun lepas.

Walaupun kedudukan rumah mereka agak ke dalam dan berjauhan antara satu sama lain, namun terdapat bangsal telah didirikan untuk belajar ilmu fardu ain bersama guru briged lantikan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

Program diketuai Pengerusi Lajnah Dakwah Muslimat PAS Pekan, Ustazah Nalida Nara ini bukan sahaja menyampaikan sumbangan barangan keperluan malah lebih kepada menyelami tahap kefahaman dan penghayatan nilai hidup Islam di kalangan muallaf.

Ziarah ini turut disertai oleh Pegawai Penggerak Masyarakat Orang Asli, Pejabat Agama Islam Daerah Pekan (JAKIM), Ustazah Norhayati Mat Zain bersama Ketua, Timbalan dan Naib Ketua Muslimat PAS Pekan, Ustazah Rohana Mohamad, Jamilah Chu dan Dr Harison Md Amin.

Menurut Ustazah Rohana, beliau bersyukur kerana dapat mendekati golongan muallaf ini dan berharap agar mereka istiqamah berpegang dengan Islam sehingga akhir hayat.

Sementara itu, Dr Harison memberitahu program ini dapat merapatkan hubungan silaturahim dengan saudara baru dan akan menyusuli lagi sesi ziarah dengan program lebih mantap dan bermakna. – HARAKAHDAILY 20/7/2020