Pantai seluruh Perak bakal dipasang LiSA

LUMUT: Peralatan Menyelamat di Air (LiSA) akan dipasang di semua kawasan pantai seluruh Perak sekiranya projek perintis yang dilaksanakan di Teluk Batik di sini berjaya, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Azmi Osman.

Advertisement

Beliau berkata LiSA yang mengandungi peralatan seperti  jaket keselamatan, peti pertolongan cemas dan pelampung bertujuan membantu orang ramai sekiranya berlaku insiden cemas di kawasan pantai.

Katanya pada peringkat awal ini di Teluk Batik, pihaknya akan meletakkan anggota atau pegawai pada hujung minggu bagi memperkenal dan mengajar orang ramai untuk menggunakan peralatan itu sekiranya berlaku kecemasan.

“Kemungkinan kita akan letak dua atau tiga LiSA di Teluk Batik dan setiap LiSA menelan kos sehingga RM2,000 dan kita akan lakukan analisis sekiranya berjaya, tiada vandalisme kita akan pasang di tempat-tempat lain,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita pada Program Kesedaran Keselamatan Aktiviti di Air di Teluk Batik di sini, semalam.

Azmi berkata pihaknya menyasarkan Pulau Pangkor sebagai destinasi kedua pemasangan LiSA pada hujung tahun ini kerana pulau peranginan itu merupakan destinasi popular di Perak yang dikunjungi pelancong dalam dan luar negara.
 
Beliau berharap orang ramai sentiasa peka terhadap aspek keselamatan setiap kali berkunjung ke pantai dan mengetahui kewujudan LiSA kerana ada kalanya mereka perlu bertindak sendiri ketika berlaku insiden cemas.

“Mereka perlu baca dan bertindak sendiri seperti pecahkan kaca dan ambil kunci dan mereka perlu buka peti itu dan seterusnya melaksanakan proses menyelamat,” katanya. 

Selain itu, Azmi berkata LiSA juga boleh digunakan oleh agensi lain seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ketika menjalankan operasi menyelamat di kawasan pantai.

Katanya sejak Januari lepas sehingga kini, sebanyak sembilan kes lemas melibatkan 10 kematian dicatatkan di Perak manakala 24 kes lemas membabitkan 24 kematian direkodkan sepanjang tahun lepas. – BERNAMA