RMM: Kerajaan prihatin generasi muda

KUALA LUMPUR: Kerajaan prihatin terhadap golongan generasi muda dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif untuk pemilikan rumah mampu milik (RMM), kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan, Dato’ Sri Dr Ismail Abd. Muttalib.

Menurutnya, kementerian telah bersetuju untuk melaksanakan inisiatif tersebut bagi membantu penjawat awam khususnya generasi muda untuk memiliki rumah dengan harga yang mampu milik.

Advertisement

Katanya, inisiatif tersebut juga termaktub di dalam Pelan Jana Semula Ekonomi (PENJANA) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

“Antara inisiatif baru atau langkah khusus kerajaan bagi menangani isu pemilikan rumah termasuk dalam kalangan generasi muda adalah melalui pelan jana semula ekonomi negara (PENJANA) 2020 yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri baru-baru ini bagi sektor hartanah.

“Kerajaan telah bersetuju dengan tiga inisiatif untuk merancakkan semula pasaran hartanah seperti berikut.

“Kempen pemilikan rumah (Home Ownership), insentif kerajaan diberikan melalui pengecualian duti setem dan insentif oleh pemaju perumahan diberikan melalui diskaun harga jualan sekurang-kurangnya 10 peratus.

“Insentif pengecualian yang diberikan adalah seperti berikut, harga rumah RM300 ribu sehingga RM2.5 juta, surat cara pindah milik pengecualian setem (duti setem 100 peratus).

“Perjanjian pinjaman pengecualian duti setem 100 peratus di atas keseluruhan, diberikan diskaun sekurang-kurangnya 10 peratus ke atas harga jualan rumah.

“Yang kedua, pengecualian cukai keuntungan hartanah cukai yang dikenakan ke atas keuntungan dari hasil jualan hartanah.

“Yang ketiga, had pembiayaan bagi pinjaman perumahan nisbah had pembiayaan yang ditawarkan institusi kewangan bagi peminjam kewangan yang mempunyai dua atau lebih pinjaman perumahan sedia ada,” responnya menjawap persoalan yang diajukan pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Malah katanya, kementeriannya juga bekerjasama dengan pihak pemaju perumahan untuk mencapai matlamat kerajaan dalam menangani isu pemilikan rumah untuk rakyat.

“Antara kerjasama yang telah dilakukan ialah Kempen Pemilikan Rumah (House Ownership Campaign (HOC)) 2019 yang bermula 1 Jun 2020 sehingga 31 Mei 2021.

“Yang kedua ialah kempen pembelian rumah pertama rumah baharu daripada pemaju perumahan termasuk pembelian rumah yang dikehendaki oleh rakyat,” terangnya.

Jelasnya, antara pencapaian pelaksanaan ialah unit terjual dengan kerjasama pelbagai agensi.

Misalnya katanya, Lembaga Kemajuan Kampung dan Perusahaan (RIDA), Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Sarawak (Sheda) serta Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (Shareda) ialah 27,803 unit bernilai RM17.7 bilion dan banyak lagi program-program yang telah dilakukan oleh kementerian perumahan.

Menurut rekod Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) terdapat sebanyak 30,664 unit rumah iaitu sebanyak 24.8 peratus yang bernilai RM18.82 bilion tidak terjual pada tahun 2019.

Manakala, purata harga rumah di kawasan bandar yang menyebabkan ia tidak terjual berada di dalam lingkungan RM300,000 sehingga RM500,000.- HARAKAHDAILY 20/7/2020