Waspada Covid-19 belum berakhir – PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan orang ramai bahawa wabak pandemik Covid-19 masih belum berakhir.

Menurutnya, kebanyakan negara luar masih mencatatkan kes yang tinggi sehingga semalam dan hampir 14.5 juta orang telah dijangkiti virus Covid-19 di seluruh dunia dengan lebih 600,000 kematian dicatatkan.

Advertisement

“Walaupun kes Covid-19 kekal rendah di negara kita, saya agak bimbang dengan kewujudan 13 kluster baharu sepanjang tempoh PKPP,” ujarnya.

Muhyiddin berkata sejak 7 Julai 2020, terdapat empat kluster baharu yang dikesan berpunca dari warga yang pulang dari luar negara.

“Antaranya Kluster di Sarawak sebanyak tiga kes, Kluster di Melaka lima kes, Kluster di Terengganu tiga kes dan Kluster di Kuala Lumpur dua kes.
“Lebih membimbangkan saya, kes positif Covid-19 telah kembali mencatatkan angka dua digit sejak beberapa hari yang lalu,” ujarnya.

Mengulas lanjut katanya, situasi ini tidak boleh diambil mudah oleh orang ramai dan sudah tentu ramai yang tidak mahu kerajaan kembali melaksanakan perintah berkurung.

“Saya juga berdoa dan berharap agar kita tidak perlu sampai ke tahap itu. Cukuplah tiga bulan kita semua berkurung di rumah untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” ujarnya.

Dalam pada itu kata beliau, sekiranya berlaku peningkatan kes Covid-19 secara mendadak dan memerlukan kerajaan menguatkuasakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), impaknya kepada ekonomi amat besar.

“Penutupan semula sektor-sektor ekonomi boleh menyebabkan negara kehilangan sekurang-kurangnya RM2 billion sehari dan secara langsung menyebabkan kehilangan sumber pendapatan bagi jutaan pekerja di Malaysia

“Impaknya termasuklah unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dijangka pada tahun 2021 mungkin tidak akan tercapai.

“Perniagaan terpaksa ditutup semula dan kadar pengangguran di tahap 5.3 peratus bagi bulan Mei 2020 boleh meningkat secara mendadak. Ini adalah suatu keadaan yang mesti kita elakkan,” katanya pada perutusan khas Perdana Menteri, perkembangan terkini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan Covid-19, di Putrajaya, hari ini. – HARAKAHDAILY 20/7/2020