6 tips interaksi dengan pesakit kronik

JIKA kita berpengalaman hidup bersama pesakit kronik, atau jika kita sendiri merupakan seorang pesakit kronik, pasti kita pernah merasai cabaran interaksi antara satu sama lain.

Advertisement

Pada pihak pesakit, merasakan seakan-akan mereka membebankan orang sekeliling. Orang sekeliling pula, sentiasa rasa serba salah dan serba tak kena ketika mahu mulakan perbualan atau merancang aktiviti bersama-sama.

Hasil bacaan catatan pengalaman pesakit-pesakit kronik, maka saya kongsikan sedikit tips buat semua.

Cubalah, mungkin bermanfaat!

(1) Pendengar setia.

Orang yang sakit lama dan berpanjangan, banyak menghabiskan masa sendirian. Maka apabila mereka bersua dengan orang terdekat, keluarga mahupun rakan-rakan, kebanyakan cerita yang akan dibualkan terfokus pada cabaran-cabaran yang mereka lalui dalam hidup. Bukanlah mereka merungut, tidak sabar atau tidak bersyukur, tetapi adakala mereka mahukan kata-kata semangat yang diluah penuh empati.

Justeru, sabar dalam mendengar luahan dan perkongsian mereka. Cuba perhatikan juga sekiranya mereka menyatakan bagaimana kita boleh membantu mereka.

(2) Cuba jadi lebih fleksibel.

Bersedia dan siapkan diri jika mereka terpaksa membatalkan perancangan pada saat akhir.

“Amboi lemak ah. Ingat masa aku tak berharga?”

Tidak. Bukan membiarkan semuanya tergantung ada kata akhir mereka sahaja. Sebaliknya, sediakan back up plan atau alternatif yang boleh dikemukakan. Atau perancangan peribadi anda jika mereka tidak dapat beri komitmen pada saat akhir. Dengan itu, mereka tahu bahawa mereka tidak merosakkan mood gembira anda, jadual anda dan mereka tahu anda masih senang hati walau pelan asal tidak menjadi.

(3) Tawarkan untuk pergi temui mereka.

Sakit kronik sebenarnya membuatkan mereka sunyi. Sepi dan terasing.

Tulis seorang pesakit:

“Saya tidak pernah rasa lebih sunyi berbanding ketika saya sepatutnya bersama rakan-rakan, namun saya terbaring sendirian kesakitan di rumah.”

(4) Pastikan anda mengambil tahu tabiat sakit mereka.

Didik diri dan tambah pengetahuan dari masa ke masa mengenai penyakit yang dihidapi rakan anda. Tiada yang lebih membuktikan rasa hormat kita pada mereka, berbanding kita meluangkan masa sibuk kita untuk cuba memahami kesakitan mereka.

(5) Sentiasa bersedia.

Hidup menghidap penyakit kronik pasti ada pakej cabaran yang unik bersama-sama sakit tersebut. Unik bermakna tersendiri. Setiap pesakit punya cabaran berbeza antara satu sama lain.

Bagi sesetengah pesakit, ujian terbesar dan simptom paling mencabar mungkin ketika mereka dalam mode hypersensitive.

Ada yang sensitif melampau terhadap banyak perkara. Cahaya, bunyi bising, sentuhan, dan bauan pewangi.

Kenali pantang atau cabaran rakan anda dan bertindaklah dengan apa yang bersesuaian. Ia boleh jadi bermaksud tidak menyembur pewangi sebarangan di sekitar mereka, atau mungkin juga bermakna kita harus ringkaskan kunjungan kita pada mereka supaya kita tidak meletihkan atau menyerap habis tenaga mereka.

(6) Percayakan mereka.

Hormati keperluan rakan anda untuk berehat. Percayakan mereka ketika mereka kongsikan simptom dan struggle atau kesukaran harian mereka.

I believe you.

Saya percayakan awak.

Ringkas, tapi perkataan ini tersangat besar maknanya bagi mereka.

Lebih-lebih lagi jika kita sedar, mereka sering kali didakwa hanya berpura-pura sakit, berlakon atau memperbesarkan simptom mereka. Kononnya mereka sengaja mencari perhatian dengan hal remeh-temeh.

Jika anda kenal seseorang dengan penyakit kronik, dan jika mereka terpaksa membatalkan perancangan bersama anda, jangan makan hati dan bersangka yang bukan-bukan, atau over thinking. Apa yang berlaku tiada kaitan dengan anda, sebaliknya bersangkut-paut dengan kesihatan mereka yang sedang terganggu.

Doakan agar Allah permudahkan urusan mereka dan agar Allah jadikan kita seorang yang pemaaf. Ada satu pepatah yang sangat mengesankan:

“It’s amazing how chronic illness turns friends into strangers and strangers into friends.”

“Menakjubkan bagaimana sakit kronik boleh mengubah rakan menjadi orang asing, dan orang asing menjadi rakan.”

Hubungi rakan anda hari ini. Siapa tahu, mungkin panggilan telefon daripada anda, mesej yang anda kirim atau kunjungan anda merupakan satu-satunya yang mereka terima sepanjang minggu ini. Oleh itu, pada mereka, nilai persahabatan anda jauh lebih mahal dan tinggi harganya berbanding apa yang anda sangkakan.

Semoga hubungan baik dan persahabatan kekal utuh walau pasti ada ujian.

SOFIA ALWANI ALI – HARAKAHDAILY 21/7/2020