Angkat sektor pertanian – Che Abdullah

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan berusaha mengangkat sektor pertanian untuk terus mengalami pertumbuhan yang memberangsangkan walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran.

Timbalan Menteri MAFI, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi dalam ucaptama majlis Anugerah Personaliti Industri dan Usahawan Malaysia 2020, di Hotel Shangri-La, di sini hari ini berkata, MAFI juga akan memastikan dan terus menyokong pembangunan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan mikro untuk keluar daripada kesan menularan pandemik wabak Covid-19.

Advertisement

Menurut beliau, program yang diadakan hari ini adalah untuk memberi pengiktirafan kepada usahawan tempatan yang telah berusaha dengan gigih menempah kejayaan dalam bidang perniagaan masing-masing sehingga dapat menyumbang kepada ekonomi negara.

Selain itu katanya, program penganugerahan ini juga dapat memberi galakkan kepada usahawan untuk mengejar kecemerlangan dalam bidang perniagaan.

Di samping itu, ia bertujuan untuk memupuk semangat keusahawan serta menjadi platform kepada syarikat tempatan sama ada yang baharu mahupun lama dan berpotensi untuk mendapat perhatian dalam skala yang lebih besar.

Program seumpama ini sememangnya wajar kepada usahawan sebagai dorongan serta motivasi kepada masyarakat khususnya para usahawan untuk lebih berani bersaing dalam bidang perniagaan sehingga ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya difahamkan terdapat sebanyak 30 syarikat serta individu yang bakal menerima anugerah dalam pelbagai kategori unik pada hari ini. Nilai jualan kesemua syarikat ini mencecah hampir RM200 juta pada tahun 2019.

“Jumlah ini merupakan jumlah yang amat besar dan ini jelas menunjukkan bahawa anda sekalian sememangnya layak untuk menerima anugerah pada hari ini. Syabas dan tahniah saya ucapkan,” katanya.

Sehubungan itu tambahnya, sehingga kini MAFI sedang merangka Dasar Sekuriti Makanan Negara yang lebih holistik dan mampan dirangka bagi memperkukuh keselamatan makanan di semua peringkat dan dasar ini kelak akan melengkapkan Dasar Agro makanan Negara 2.0 (2021-2030).- HARAKAHDAILY 21/7/2020