Komen jelik: Suri rumah didakwa

SHAH ALAM: Seorang suri rumah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik terhadap kerabat diraja Selangor di laman Facebook pada Jun lepas.

Advertisement

Tertuduh, Siti Nurul Ain Mat Nayan, 32, yang juga peniaga dalam talian secara sambilan itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rihaida Rafie.

Mengikut pertuduhan, Siti Nurul Ain didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi internet menerusi telefon bimbit jenis Samsung A30 secara sedar untuk membuat dan memulakan penghantaran komen jelik berkaitan kerabat diraja Selangor di laman Facebooknya dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Pautan itu kemudian dibaca di Istana Mestika, Seksyen 7 di sini kira-kira 10:26 pagi pada 26 Jun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000.

Atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Baizura Mohd Saubian dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah memerintahkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dan menetapkan Jumaat ini untuk dijatuhkan hukuman. – BERNAMA