Memberi penghargaan kepada pelajar

PENGHARGAAN atau rasa dihargai mempunyai kesan positif yang tersendiri dalam hidup manusia. Namun, method ini sering kali dipinggirkan mungkin kerana budaya masyarakat kita yang tidak biasa mengekspresikannya secara berdepan atau segan apabila menerima penghargaan dari orang lain. Tapi, pada hakikatnya method ini membantu dalam banyak hal.

Dalam dunia pendidikan, guru yang kerap mengekspresikan penghargaan dapat memberi motivasi kepada pelajar untuk memperbaharui semangat dan mendorong keinginan menambah ilmu. Kesan penghargaan membawa kepada perilaku-perilaku yang aktif. Begitu juga sebaliknya, usaha yang tidak dihargai pula akan membentuk perilaku yang pasif.

Advertisement

Penghargaan boleh ditunjukkan dengan pelbagai cara, di antaranya adalah:

(1) Penghargaan pujian.

Dalam sesi pembelajaran, pendidik selalunya fokus pada potensi kasar pelajar seperti mampu presentasi topik dengan lancar dan baik. Namun ada juga pelajar yang mungkin tidak begitu fasih berkata-kata, tetapi sisi kekuatan yang kecil seperti mampu membuat eyes contact dengan baik, berusaha menyampaikan dan lain-lain.

Usaha-usaha yang tidak bersifat ‘spot light’ begini juga perlu dihargai.

(2) Penghargaan dalam bentuk doa.

Nabi S.A.W pernah mendoakan Ibnu Abbas kerana dia menyediakan air untuk Baginda berwudhu’. Nabi menunjukkan rasa penghargaan dengan doa:

اللهم فقهه في الدين

Pada hakikatnya semua orang ada fitrah rasa ingin dihargai walaupun pada hal-hal yang kecil. Ketika kita tidak mahu dilayan kaku seperti robot, kita juga tidak boleh layan orang lain sebegitu. Mudah fahamnya, ‘treat people like you want to be treated’.

Elemen emosi merupakan indikator penting dalam kehidupan seseorang, tetapi sering disisihkan kerana kononnya ‘hidup kena kental’ atau ‘hati jangan tisu’. Hidup boleh kental dan hati tidak akan tisu sekiranya kita mempunyai common sense yang baik antara satu sama lain.

Menfasilitasikan penghargaan dalam kehidupan, terutamanya pembelajaran dan pengajaran bukanlah tujuan utama, namun ia merupakan alat membangkitkan motivasi dan mencungkil potensi.

AINA MOKHTAR – HARAKAHDAILY 21/7/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.