NGO Prihatin Rakyat jayakan kempen derma darah

TAMBUN: Hospital dan klinik seluruh negara kini amat mengharapkan penderma tampil di Pusat Tabung Darah atau di program kempen yang diadakan bagi menampung keperluan darah.

Advertisement

Pendermaan darah bukan sahaja amalan mulia yang sudah pasti mendapat ganjaran pahala di sisi Allah S.W.T, malah dapat menghindari pelbagai jenis penyakit termasuk mengurangkan risiko sakit jantung.

“Masyarakat perlu dididik untuk menderma darah kerana melalui seorang penderma boleh memanfaatkan tiga orang penerima serta mampu menyelamatkan nyawa orang lain.

“Saya merayu agar masyarakat berterusan memberikan sokongan dalam program kempen seumpama itu di tempat lain,” ujar perasmi program sebagai tanda sokongan dan komitmen tinggi.

Pengarah Komunikasi Strategik (STRATCOM) Negeri Perak, Hafez Sabri berkata demikian ketika Kempen Derma Darah Gugusan Manjoi di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Tapah, Ipoh di sini kelmarin.

Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Prihatin Rakyat memaklumkan, terdapat sedikit kelainan diperkenalkan dalam program kali ini iaitu disediakan sudut khas bagi keselesaan penderma wanita Muslim.

Tambahnya lagi, sebagai sebuah NGO yang akan terus bekerjasama dengan pelbagai agensi dan pihak berkaitan, inisiatif dan usaha dilakukan adalah bagi memastikan tiada masyarakat yang tertinggal (left behind) di bawah pentadbiran Kerajaan PN.

Sementara itu, Ahli Majlis Bandaraya Ipoh, Syed Noor Hisam Syed Hassan berharap lebih banyak individu dan organisasi tampil membantu Tabung Darah yang mengalami kemerosotan bekalan darah ketika ini.

Dalam pada itu para petugas Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) diketuai Dr Sabariah Mohd Noor berbangga dengan pencapaian 51 penderma darah dan turut dihadiri hampir 200 orang pengunjung dan petugas.

Program tersebut turut dijayakan bersama Penghulu dan Jawatankuasa Sementara Penduduk Kampung (JSPK) seluruh Gugusan Manjoi dan juga dibantu pasukan RELA dan Jabatan Amal Malaysia (AMAL) Tambun. – HARAKAHDAILY 21/7/2020