Pakej Rangsangan pastikan ekonomi berdaya tahan

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah memperkenalkan pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi bernilai RM295 bilion untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus berdaya tahan bagi menghadapi penularan pandemik Covid-19.

Pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi tersebut hanya melibatkan suntikan langsung fiskal berjumlah RM45 bilion.

Advertisement

Menteri Kewangan, Senator Dato’ Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata kerajaan telah mengambil kira pengurangan hasil berikutan unjuran Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang lebih rendah dan kejatuhan harga minyak mentah dunia serta pertambahan perbelanjaan bagi melaksanakan pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi.

“Defisit fiskal pada tahun 2020 dijangka meningkat sekitar 5.8 peratus hingga 6.0 peratus berbanding 3.2 peratus daripada KDNK yang diunjurkan sebelum ini.

“Berdasarkan laporan oleh agensi penarafan antarabangsa Moody’s, negara serantau juga dijangka mencatat defisit fiskal yang tinggi seperti Singapura sekitar 15 peratus, Jepun lapan peratus, China 6.7 peratus dan Korea Selatan empat peratus,” jelasnya.

Menurutnya, semua langkah yang telah diumumkan dalam pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi tersebut adalah bersifat one-off dan tidak akan terus membebankan kewangan Kerajaan Persekutuan dalam jangka masa sederhana dan panjang.

“Ini adalah antara strategi kerajaan bagi mengurangkan defisit fiskal dalam jangka masa sederhana secara berperingkat seterusnya memastikan kedudukan fiskal dan hutang negara kekal pada paras terkawal.

“Kerajaan akan meneruskan langkah konsolidasi fiskal dengan memberi tumpuan kepada usaha untuk meningkatkan kutipan hasil dan kecekapan perbelanjaan bagi mengukuhkan lagi kedudukan kewangan kerajaan,” ujarnya.

Zafrul berkata, pada masa ini, kerajaan mengguna pakai Kerangka Fiskal Jangka Sederhana atau dengan Medium Term Fiscal Framework (MTFF) sebagai panduan dalam menggubal strategi ke arah konsolidasi fiskal untuk jangka sederhana (3 hingga 5 tahun) di samping selari dengan Rancangan Malaysia jangka panjang.

Selain itu, katanya, kerajaan juga dalam proses merangka Akta Kebertanggungjawaban Fiskal (FRA) untuk memastikan pengurusan fiskal dan hutang yang lebih baik dan telus.

“Oleh itu, Insya Allah, kerajaan yakin defisit fiskal akan dapat diturunkan secara berperingkat dalam jangka masa sederhana,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab pertanyaan Dato’ Ir Amiruddin Hamzah [Bebas-Kubang Pasu ] yang meminta untuk menyatakan strategi pihak kerajaan dalam mengembalikan defisit fiskal ke paras tiga peratus dalam masa dua ketiga tahun. – HARAKAHDAILY 21/7/2020