Penagih dadah diserbu lari tinggalkan anak

BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki lari meninggalkan dua anak lelaki yang berumur 7 dan 9 tahun, semasa dia bersama dua rakannya diserbu oleh penguat kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang di sebuah hutan belukar di Permatang Pauh, di sini semalam.

Advertisement

Pengarah AADK Pulau Pinang Elmariah Chung berkata serbuan dalam Ops Bersepadu itu dibuat pada pukul 6:30 petang hasil risikan dan maklumat awam mengenai sekumpulan penagih dadah yang menjadikan lokasi itu sebagai tempat mereka menghisap dadah.

“Tiga lelaki yang didapati sedang menghisap dadah di situ bertempiaran lari ke arah hutan bersebelahan sawah padi selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa, namun dua daripadanya berjaya ditahan manakala seorang lagi meloloskan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata lelaki yang lolos itu sengaja membawa dua anaknya ke kawasan hutan berkenaan bagi mengaburi orang ramai, yang dia menghisap dadah di situ, dan kedua-dua kanak-kanak berkenaan telah dihantar kepada keluarga terdekat, apabila bapa mereka tidak dapat dikesan.

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas dua lelaki berusia 30-an yang ditahan dalam operasi itu mendapati mereka positif dadah. Mereka ditahan dan disiasat menurut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983 Pindaan 1998,” katanya. – BERNAMA