Razman rai penerima sumbangan Econsave

BAGAN SERAI: Sifat bantu membantu dan memelihara kebajikan golongan memerlukan merupakan amalan yang seharusnya diterapkan dalam kalangan rakyat bagi memupuk masyarakat sivil harmoni, berikut seru ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria.

Advertisement

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Negeri telah meraikan 100 penerima sumbangan barangan dapur daripada Econsave dengan penyampaian barang sumbangan bersama Pengarah Urusan Econsave Bagan Serai, Zamzuri Mansor.

“Saya difahamkan pihak Econsave telah memilih 100 penerima yang layak untuk diberi bantuan barangan keperluan dapur. Jadi marilah sama-sama kita memberi sokongan kepada pihak mereka supaya usaha ini dapat diteruskan di masa akan datang,” jelas beliau.

Di dalam majlis Zamzuri Mansor menyatakan bahawa matlamat program tersebut adalah untuk memperkenalkan Pasaraya Econsave kepada penduduk Bagan Serai selain membantu penduduk yang memerlukan.

Pengurus Econsave Cawangan Parit Buntar, Chen Siaw Pin yang turut hadir dalam majlis tersebut pula menyatakan komitmen Econsave untuk terus menyalurkan sumbangan di tempat-tempat lain dan dalam waktu terdekat akan dilaksanakan pihaknya di kawasan Parit Buntar.

Seorang penduduk dari Parit Mentara 2 ketika ditemuramah, Sofia Hassan berkongsi rasa syukur kerana terpilih sebagai penerima setelah beliau dimaklumkan oleh wakil dari pihak Masjid Jamek Bagan Serai.

Majlis yang diadakan dalam pekarangan pintu masuk utama pasaraya itu diakhiri dengan sesi bergambar dan serahan cenderahati oleh pengurusan Econsave kepada Razman. – HARAKAHDAILY 21/7/2020