Remehkan amanah undang hina, gagal dan hancur

PASIR SALAK: Amanah yang dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab oleh pejuang Islam akan membolehkannya melakukan banyak perkara-perkara kebaikan secara istiqamah di mana martabatnya melebihi malaikat di langit.

Advertisement

Ini kerana memenuhi tuntutan amanah adalah perkara berat tetapi merupakan ibadah yang besar ganjarannya di sisi Allah S.W.T, demikian menurut Ketua Muslimat PAS Kawasan Pasir Salak, Jamaliah Sudin.

Sebaliknya peringat beliau, kegagalan melaksanakan amanah yang diberi akan membawa kehinaan di sisi Allah di mana kelemahan ini mesti dibimbangi dan tidak dipandang remeh kerana ia menjadi sebahagian jihad dalam agama.

Nasihat itu menjadi antara intipati ucapannya pada Mesyuarat Agung Muslimat PAS Pasir Salak Kali Ke-26 yang dilangsungkan di Dewan Haji Rais, Chenderong Balai, di sini kelmarin.

Apatah lagi katanya, setiap amanah itu menjadi cerminan kepada PAS sebagai organisasi yang didukungi kerana setiap pemegang amanah dilihat masyarakat sebagai wakil atau Duta PAS termasuk percakapan dan kelakuannya.

Menurutnya, oleh demikian juga bermakna setiap kebaikan dari amanah yang disempurnakan pasti memberi pandangan positif buat parti, sebaliknya setiap kegagalan akan memberi persepsi negatif serta merosakkan imej parti.

Beliau memetik iktibar Perang Uhud di mana arahan menjadi amanah yang mesti dipatuhi, namun apabila ia diingkari kerana tentera Islam berganjak dari kedudukan, menyebabkan mereka dihancurkan dan kemenangan hampir dikecapi telah dirosakkan.

Jamaliah memuji komitmen Muslimat PAS Pasir Salak walaupun sedia dimaklumi mereka juga memikul tanggungjawab lain di rumah dan rutin wajib ke atas keluarga, namun melunaskan amanah kepada parti.

Ketika sama beliau mengingatkan bahawa usaha menunaikan amanah untuk mengembangkan agama Allah itu pasti diuji dengan cabaran dan halangan berupa tawaran pangkat, harta dan wanita. – HARAKAHDAILY 21/7/2020