Tiada kenaikan tarif air – KASA

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan tidak akan menaikkan tarif air dalam situasi rakyat sekarang ini yang terkesan dengan pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan akan menanggung semua kos dalam keadaan kritikal ini.

Advertisement

“Dalam situasi rakyat berdepan dengan bebanan ekonomi yang teruk berikutan wabak pandemik Covid-19 yang belum selesai – tekanan bebanan hidup. Saya ingin memberi jaminan kerajaan tidak akan menaikkan tarif air dalam situasi rakyat masih terbeban ini.

“Kerajaan akan menanggung kos dalam situasi susah sebab kerajaan prihatin disamping tawaran pelbagai yang telah diberi. Kita jamin rakyat tidak perlu risau dalam keadaan kritikal begini,” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Dato’ Hasanuddin Mohd Yunus [PH-Hulu Langat] yang bertanya tentang jaminan kerajaan bahawa tarif air di Lembah Klang tidak naik selepas Kerajaan menyerahkan Loji Rawatan Air Langat 2 kepada Pengurusan Air Selangor untuk mengelakkan bebanan pengguna.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata projek Loji Rawatan Langat 2 bertujuan bagi memastikan kelangsungan air terawat di Lembah Klang di samping menaikkan rezab margin air terawat daripada 3.8 peratus kepada 10 peratus.

Jelasnya lagi, peruntukan ke atas projek ini akan diterjemahkan dalam bentuk tarif yang bersesuaian bagi memastikan Air Selangor mampu membayar sewa pajakan berjumlah RM232 juta setahun kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) selama 45 tahun yang merangkumi kos keseluruhan pembangunan projek dan kos operasi air, loji meliputi kos rawatan, agihan perkhidmatan pelanggan serta pentadbiran.

“Perkara ini penting bagi memastikan kemampuan kewangan Air Selangor dapat beroperasi dan rakyat mendapat air bersih yang mencukupi menjelang 2023,” ujarnya.- HARAKAHDAILY 21/7/2020