Fokus khidmat kepada rakyat, bukan bubar DUN

MELAKA: Ketua Menteri Melaka Datuk Sulaiman Md Ali hari ini menyeru Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang negeri itu agar menumpukan perhatian mereka kepada perkhidmatan untuk rakyat, bukan mendesak pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Advertisement

Katanya tugas seseorang ADUN adalah melaksanakan amanah yang diberikan oleh rakyat selagi DUN masih berjalan.

“Akhirnya kita serah balik kepada rakyat untuk memilih (apabila DUN dibubarkan), tetapi masa ini kita jaga rakyat sebaiknya,” katanya semasa menggulung usul ucapan terima kasih kepada Yang Dipertua Negeri Melaka pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka di Kompleks Seri Negeri Ayer Keroh di sini.

Terdahulu dalam perbahasan usul itu, beberapa ADUN pembangkang antaranya Ketua Pembangkang Adly Zahari (PH-Bukit Katil), Low Chee Leong (PH-Kota Laksamana) dan Alex Seah (PH-Kesidang)  antara lain berkata DUN Melaka perlu dibubarkan bagi memberi ruang kepada rakyat memilih kerajaan secara adil.

Sementara itu, Sulaiman berkata sebagai sebuah kerajaan negeri bertanggungjawab, pihaknya akan mendengar cadangan semua pihak termasuk pembangkang dalam memberikan yang terbaik kepada rakyat.

“Dasar baik daripada kerajaan terdahulu (Pakatan Harapan) saya akan teruskan, kalau merencat pendapatan negeri saya perbaiki, selagi tidak jejas struktur kewangan negeri kita teruskan,” katanya.

Speaker DUN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh kemudian memaklumkan persidangan usul itu diluluskan dengan 17 daripada keseluruhan 28 ADUN menyokong. – BERNAMA