GAMIS gesa Parlimen bincang isu graduan

KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) telah menghantar memorandum berkaitan kebajikan dan nasib graduan anak muda di Malaysia kepada Ahli Parlimen untuk dibangkitkan dalam Dewan Rakyat.

Memorandum itu telah diserahkan kepada Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman di Bangunan Parlimen, semalam.

Advertisement

Dalam memorandum itu, Gamis melahirkan kekesalan berkenaan isu kebajikan dan kebolehpasaran
graduan yang tidak terbela sehingga mengekang potensi para graduan.

Katanya, kementerian perlu mengambil serius terhadap isu kebolehpasaran graduan kerana berlaku ketidakpadanan antara permintaan dan bekalan tenaga kerja.

“Universiti saban tahun telah melahirkan graduan yang sangat banyak namun begitu, dari segi kualiti graduan yang dilahirkan perlu diperdebatkan dengan lebih mendalam.

“Universiti juga harus dikritik sekiranya silibus yang ditawarkan tidak mampu memberi manfaat yang besar kepada graduan setelah berada didalam alam pekerjaan,” katanya dalam memorandum itu.

Menurutnya, universiti perlu mengkaji semula silibus wajib yang diperkenalkan kepada mahasiswa kerana, terdapat silibus yang tidak terlalu penting telah diajar kepada mahasiswa namun penawaran pekerjaan terhadap silibus itu sangat rendah di dalam alam pekerjaan.

LKPU segera selesaikan isu

Selain itu, Gamis turut menggangkat isu penangguhan pengiktirafan Sarjana Muda Undang-Undang dan Syariah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) oleh Lembaga Kelayakan Professional Undang-Undang (LKPU)

Jelasnya, isu ini telah diperjuangkan selama 10 tahun oleh graduan USIM, namun jawapannya menghampakan.

Pimpinan Gamis menyerahkan memorandum kepada Ahli Parlimen, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman yang turut disaksikan oleh Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman (kedua dari kiri); Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid (ketiga dari kiri).

Justeru itu, Gamis menyeru supaya LKPU segera menyelesaikan isu pengiktirafan yang dihadapi oleh graduan Sarjana Muda Undang-undang dan Syariah.

Katanya, penjelasan secara bertulis yang menyatakan sebab yang munasabah perlu dikemukan oleh LPQB berhubung penangguhan pengiktirafan yang berterusan ini.

“Ketidakcekapan dan kelewatan LKPU menyelesaikan isu ini jelas membunuh masa depan graduan Undang-Undang yang telah berhabis masa, wang dan keringat demi mencapai cita-cita.

“Kementerian juga haruslah memantau isu ini supaya bakal graduan dan graduan diberi pembelaan sewajarnya,” ujarnya.

PTPTN membebankan graduan

Gerakan menuntut pendidikan percuma telah mula menuntut agar Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjadi suatu badan yang mampu memberikan pendidikan percuma kepada kumpulan mahasiswa yang memerlukan, terutamanya mereka yang berlatarbelakangkan
keluarga B40.

“Gamis berharap PTPTN segera mengkaji semula bukan sahaja mekanisme pembayaran balik pinjaman pendidikan.

“Bahkan juga memikirkan kaedah untuk menyediakan pendidikan sebagai suatu keperluan asasi yang boleh diakses oleh segenap lapisan masyarakat tanpa mengira status sosial, tahap pendapatan per kapita setiap keluarga dan sebagainya,” katanya lagi.- HARAKAHDAILY 22/7/2020