Inovasi penyembelihan korban bantu patuhi SOP

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli menyokong penuh usaha Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam memperkenalkan inovasi teknologi penyembelihan sempena musim korban yang akan berlangsung minggu hadapan.

Katanya, teknologi tersebut merupakan suatu kaedah alternatif yang dilakukan dengan kerjasama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam memastikan pematuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Advertisement

“Walaupun pengenalan teknologi ini masih baru, ia merupakan suatu langkah yang sangat baik demi memastikan pematuhan yang optimum terhadap perlaksanaan ibadah korban itu sendiri.

“Saya juga difahamkan pihak Kementerian akan menerbitkan SOP pelaksanaan ibadah korban yang memperincikan pelaksanaannya dan sewajarnya menjadi rujukan oleh semua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, pelbagai langkah proaktif yang telah diambil Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bagi memastikan kelancaran perlaksanaan ibadah-ibadah lain termasuklah Solat Jemaah dan Solat Jumaat khususnya semasa negara menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sebelum ini.

“Saya berharap agar semua rakyat dapat mematuhi SOP yang ditetapkan semasa perlaksanaan ibadah korban dan bersama mengekang penularan pandemik Covid-19,” katanya lagi.- HARAKAHDAILY 22/7/2020