KADA cadang perluas kawasan seliaan padi

PASIR PUTEH: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) bercadang memperluas kawasan seliaannya sehingga ke Machang, Rantau Panjang (Pasir Mas) dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin-Semerak di Pasir Puteh.

Advertisement

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata ia berikutan berlaku pengurangan keluasan kawasan jelapang padi yang disebabkan oleh aktiviti pembangunan komersial dan perumahan di negeri ini, sejak 10 tahun lalu.

“Menerusi pertambahan tiga kawasan baharu ini, ia akan menggandakan kawasan seliaan KADA kepada 43,951 hektar berbanding 26,833 hektar ketika ini,” kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Petani Jajahan Pasir Puteh di Persatuan Peladang Kawasan (PPK) Cherang Rotan di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, Pengerusi KADA Datuk Kamarudin Md Noor dan Pengurus Besar KADA Nik Roslan Idris.

Che Abdullah yang juga Ahli Parlimen Tumpat berkata, walaupun berlaku pengurangan sebanyak 4,000 hektar kawasan jelapang padi di Kelantan sejak 10 tahun lalu, namun hasil produktiviti padi tetap meningkat kepada 51,000 metrik tan ekoran penggunaan teknologi moden dan projek Ladang Merdeka.
 
Untuk rekod, KADA ketika ini menyelia kawasan jelapang padi di lima jajahan iaitu Kota Bharu, Pasir Puteh, Pasir Mas, Tumpat dan Bachok membabitkan seramai 7,722 petani.

Mengulas lanjut, beliau berkata cadangan memperluaskan kawasan seliaan KADA akan dibincangkan di peringkat kementerian untuk direalisasikan.

Katanya, cabaran utama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan kini ialah untuk meningkatkan pengeluaran bekalan makanan, namun berdepan kekangan daripada aspek kekurangan sumber yang terhad seperti tanah pertanian.

Justeru katanya, para petani harus beralih menggunakan teknologi moden serta mempelajari teknik penanaman pertanian moden dalam usaha mencukupkan bekalan makanan dalam negara. –  BERNAMA