MAIPs terus cemerlang – Raja Muda Perlis

raja

ARAU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta agensi di bawahnya terus mempamerkan kecemerlangan menerusi pelbagai aktiviti termasuk program antarabangsa yang berjaya mengharumkan nama Perlis.

Advertisement

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah menerusi program-program tersebut, Perlis berjaya membawa masuk tokoh Islam terkenal di dunia dan mengadakan pertemuan bersama tokoh-tokoh berkenaan. 

“Antara tokoh yang terkenal ialah Imam Masjidil Haram, Syeikh Dr Maher Al-Muaqly dan Setiausaha Majlis Universiti Islam Madinah Al-Munawwarah, Syeikh Prof Dr Mahmud Qadah.

“Selain itu, MAIPs turut bekerjasama melaksanakan program Ziarah Mahabbah Bersama Majlis Agama Islam 6 Wilayah Andaman, Thailand,” titah Raja Muda Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian ketika berangkat merasmikan Majlis Apresiasi Anugerah Perkhidmatan Terpilih dan Keterampilan Jabatan serta Agensi Agama Islam di bawah MAIPs 2019 di sini, semalam.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama  Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor.
 
Tuanku Syed Faizuddin turut bertitah agar MAIPs mengutamakan calon-calon Pekhidmat Majlis yang mampu memberi nilai tambah kepada agensi itu berdasarkan kepakaran dan kemahiran yang dimiliki masing-masing.

“Ini amat penting kerana Pekhidmat Majlis adalah tonggak melestarikan visi dan misi MAIPs. Hanya terbaik boleh membawa MAIPs ke tahap yang lebih membanggakan selain diambil untuk menguatkan jentera sedia ada.

“Ini adalah salah satu usaha untuk memastikan agar MAIPs dapat terus-menerus merealisasikan slogannya, ‘Menjunjung Syiar, Memaju Ummah,’” titahnya.

Pada majlis itu seramai 36 warga kerja daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis, Jabatan Mufti Negeri Perlis, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis, Pejabat DYMM Tuanku Raja Perlis dan MAIPs menerima anugerah semalam. – BERNAMA