Muslimat-Srikandi Sekijang menjalin kasih

SEKIJANG: Srikandi BERSATU Bahagian dan Muslimat PAS Kawasan bagi Parlimen Sekijang telah mengadakan pertemuan pada program Jalinan Kasih yang dilangsungkan di Pejabat BERSATU Sekijang, di sini petang semalam.

Advertisement

Majlis ini bertujuan mengeratkan silaturahim dan ukhuwah kedua pihak yang saling bersuai kenal dan kesediaan bersama dengan semangat menyatukan hati sesama anggota di bawah wadah Perikatan Nasional.

Delegasi dipimpin Ketua Muslimat PAS Sekijang, Normala Sudirman yang juga Timbalan Ketua Muslimat PAS Negeri Johor dan disambut Ketua Srikandi BERSATU Sekijang, Maimon Mohd Ali dan Ahli-ahli Jawatankuasa Srikandi BERSATU Sekijang.

Turut serta adalah Timbalan dan Naib Ketua Muslimat PAS Sekijang, Aslamiyah Masiron dan Rugayah Selamat bersama Ahli Jawatankuasa yang lain serta EXCO Muslimat PAS Johor, Nur Ameera Zain.

Pengerusi BERSATU Sekijang, Uzzair Ismail bertindak selaku moderator kedua pihak yang turut mengisi pertemuan dengan bertukar pandangan untuk berkolaborasi dalam agenda bersama menyantuni dan menyelami denyut nadi penduduk.

Kedua-dua pihak sepakat bahawa kerjasama mesti disuburkan dengan penuh keikhlasan, setiakawan dan pengorbanan tinggi untuk memastikan masa depan generasi pelapis terarah di bawah landskap politik Malaysia yang lebih sejahtera dan harmoni.

Normala dalam pertemuan itu mengutarakan prinsip PAS yang meletakkan al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan hidup dan perjuangan politik, selain mendukung tindakan dengan wala’ dan patuh kepada keputusan parti.

Maimon pula berharap agar aktiviti berbentuk kewanitaan di Parlimen ini dapat dijayakan bersama hasil gandingan tenaga Muslimat PAS dan Srikandi BERSATU secara kolektif. – HARAKAHDAILY 22/7/2020