Ramkarpal Singh diarah buktikan dakwaan audio

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Takiyuddin Hassan meminta Ramkarpal Singh [DAP-Bukit Gelugor] membuktikan dakwaan berhubung penggunaan audio di dalam Dewan Rakyat pada tahun 2007.

Ia berikutan dakwaan beliau bahawa Parlimen sebelum ini pernah membenarkan rakaman audio dimainkan.

Advertisement

Menurut Dato’ Takiyuddin [PAS-Kota Bharu] berdasarkan rekod dan semakan Parlimen, tiada rakaman audio sebagaimana yang dinyatakan oleh Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu.

Justeru itu, beliau menegaskan bahawa dakwaan Ramkarpal adalah tidak berasas dan merupakan satu perbuatan yang mengelirukan Dewan serta merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan 36(12) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Oleh itu, demi keadilan dan faedah keraguan (benefit of the doubt), YB Bukit Gelugor adalah diberi peluang untuk membuktikan dakwaan tersebut, sehingga berakhirnya sidang Parlimen hari ini, 22 Julai 2020, Rabu,” tegas Takiyuddin dalam satu kenyataan media hari ini.

Tegasnya lagi, kegagalan Ramkarpal untuk membuktikan dakwaan tersebut boleh menyebabkan beliau dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan di bawah Peraturan 36(12) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Semalam, Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu memainkan rakaman audio mirip suara Tan Sri Muhyiddin Yassin (BERSATU-Pagoh) ketika Dewan Rakyat bersidang.

Ketika kejadian, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Azalina Othman Said terus melarang beliau berbuat demikian dan segera menghentikan Ramkarpal serta meminta Ahli Parlimen DAP itu menyatakan mana satu Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang membenarkan rakaman audio dimainkan.

Ramkarpal kemudian mempertahankan tindakannya dengan berkata klip audio itu sebahagian dariapda teks ucapan perbahasannya yang dikatakan bukti penting untuk menunjukkan rakaman audio itu milik suara Muhyiddin.- HARAKAHDAILY 22/7/2020