Warga Pakistan dikenakan hukuman Sogit

KOTA MARUDU: Seorang warga Pakistan dikenakan hukuman Sogit (denda adat) lapan ekor kerbau dan lapan buah gong oleh Mahkamah Anak Negeri di sini semalam selepas mengaku menghina suku kaum Kadazandusun bulan lepas.

Advertisement

Amir Khan Nawati, 50, mengaku melakukan perbuatan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim yang juga Ketua Daerah Kota Marudu Datuk Baintin Adun, Ketua Anak Negeri Ramli Madina serta beberapa pemimpin suku kaum Kimaragang Tandek.

Pemegang taraf pemastautin tetap itu didakwa menghina dan secara sengaja menjatuhkan maruah suku kaum Kadazandusun, Kimaragang dan Cina menerusi satu rakaman suara berdurasi lima minit yang tular di media sosial Facebook pada 8 Jun lepas.

Sekiranya gagal membayar sogit itu, Amir Khan berdepan hukuman denda sebanyak RM4,000 atau 16 bulan penjara atau kedua-duanya di mana difahamkan Amir Khan akan melunaskan Sogit itu. – BERNAMA