HRDF jamin kerja, kurangkan pengangguran

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia telah melancarkan Inisiatif Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang dikenali sebagai PENJANA HRDF pada 22 Jun lalu bertujuan untuk menyokong agenda kerajaan di dalam memulihkan semula ekonomi negara yang terkesan disebabkan wabak pandemik Covid-19.

Menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Solahuddin Hashim, pelaksanaan inisiatif ini akan memberi fokus kepada penempatan pekerjaan dan penjanaan pendapatan kepada rakyat Malaysia.

Advertisement

“Salah satu skim daripada inisiatif PENJANA HRDF adalah penempatan dan latihan (place and train) yang memberi jaminan penempatan pekerjaan setelah pelatih menamatkan latihan.

“Kumpulan sasar yang akan dilatih meliputi golongan graduan dan pelajar lepasan sekolah yang akan mengurangkan isu pengangguran di dalam kalangan belia,” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Shaharizukirnain Abd. Kadir [PAS-Setiu] yang meminta penjelasan berkaitan rancangan kementerian untuk memastikan insiatif penggajian penganggur dalam PENJANA dapat mencapai sasaran yang diharapkan.

Mengulas lanjut, Awang berkata bagi menyelesaikan isu pengangguran disebabkan oleh pandemik Covid-19, pekerja yang diberhentikan turut mendapat manfaat daripada skim ini dan sekaligus mampu mengurangkan kadar pengangguran secara langsung kepada rakyat Malaysia.

Jelasnya, secara keseluruhan, peruntukan daripada PENJANA yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada 5 Jun lalu berjumlah RM250,000,000.00 akan digunakan oleh Pembangunan Sumber Manusia Berhad bagi memanfaatkan 40,000 rakyat Malaysia untuk mendapat peluang pekerjaan dalam tempoh masa 12 bulan.

“Setakat 8 Julai 2020, seramai 3,000 orang telah berjaya mendapatkan penempatan pekerjaan dengan bantuan kewangan diluluskan berjumlah RM15 juta dengan tawaran gaji bermula daripada RM1,800 sebulan,” ujarnya.- HARAKAHDAILY 23/7/2020