Ketulenan dakwah kreatif Sunan Kalijaga

RANTAU Nusantara berbangga memiliki tokoh-tokoh Wali Songo yang berjasa menerapkan agama Islam ke dalam kalangan masyarakat awam. Salah seorang dari mereka ialah Raden Syahid atau nama popularnya, Sunan Kalijaga yang amat terkenal dengan keberkesanan dakwah kreatifnya.

Senario zaman

Sunan Kalijaga yang lahir sekitar tahun 1450 sempat merasai perpindahan zaman antara era akhir Kerajaan Majapahit hinggalah berdirinya Kerajaan Islam selepas itu di Jawa. Beliau sangat berperanan menerapkan falsafah hidup Islam yang pada awalnya sulit diterima oleh masyarakat. Namun dengan inovasi dakwah Sunan Kalijaga, ia dapat difahami dan diterima dengan baik.

Advertisement

Sememangnya budaya hidup orang Nusantara suka berhibur. Terdapat dakwaan bahawa perisik Portugis merumuskan sesungguhnya budaya hidup masyarakat Melayu sangat gemar bersuka ria. Ia adalah kajian Portugis yang diperolehi hasil pemerhatian mereka sebelum menjalankan operasi penjajahan.

Begitu juga apa yang diperhatikan oleh Sunan Kalijaga, masyarakat tanah Jawa telah berdarah daging dengan adat-adat yang berbentuk hiburan. Maka pada hematnya, mesej-mesej Islam yang menyeluruh perlu dirakyatkan dengan media-media dakwah yang tersendiri.

Ijtihad yang berobjektif

Sunan Kalijaga memperkenalkan falsafah-falsafah hidup Islam kepada masyarakat tanah Jawa yang ketika itu belum didedahkan dengan Islam. Beliau melihat instrumen-instrumen adat budaya berhibur setempat sangat berpotensi menjadi media dakwahnya.

Lantas Sunan Kalijaga menghasilkan bahan-bahan hiburan sendiri. Antaranya, beliau memilih wayang kulit dan lagu-lagu untuk direka dengan nilai seninya yang tersendiri. Keunikan pendekatan beliau dapat menarik ramai orang mendekati Islam dan memeluk agama tauhid itu.

Jika dianalisa hasil-hasil seni Sunan Kalijaga, tidak syak lagi bahawa beliau memiliki upaya yang tinggi dalam menterjemahkan falsafah hidup Islam dengan bentuk yang mudah. Baginya, jika masyarakat telah memahami falsafah hidup Islam melalui karya seninya, sudah pasti lama kelamaan mereka akan beransur-ansur meninggalkan adat budaya hiburan yang tiada hala tuju.

Wayang tauhid, Jimat Kalimosodo

Antara cerita wayang kulit hasil Sunan Kalijaga adalah berjudul Jimat Kalimosodo. Ia bermaksud Azimat Kalimah Syahadah. Plot cerita ini menonjolkan seorang watak bernama Prabu Darmakusuma yang memiliki semacam azimat. Azimat yang penuh kesaktian itu dipanggil Kalimosodo dan ia direbutkan oleh ramai orang.

Dramatiknya cerita ini, memaparkan watak antagonis yang bernama Dewa Serani. Watak kafir itu digambarkan sentiasa berusaha sedaya upaya mahu merampas Kalimosodo. Ia sebagai gambaran, musuh Islam sememangnya ingin meragut iman umat Islam.

Plot kepahlawanan dilengkapkan dengan pengawal-pengawal Jimat Kalimosodo yang berlima. Mereka digambarkan bertugas sebagai menjaga kalimah Syahadah. Sri Sugiastuti di dalam laman Kompasiana menjelaskan maksud kepada watak berlima itu adalah:

(1) Prabu Darmakusuma: Watak yang memiliki kain lilitan tertulis kalimah Syahadah, menggambarkan Rukun Islam pertama.

(2) Werkudara: Watak yang selalu tunduk, sangat fokus dalam menjalani urusannya. Selagi urusannya belum selesai, dia tidak akan melayani orang lain. Ia sebagai gambaran solat yang khusyuk.

(3) Janaka: Watak yang berdaya tahan ampuh dan tenang, menggambarkan ibadat puasa.

(4) Nakula dan Sadewa: Dua watak yang tekun bekerja dan dikurniakan kekayaan yang berkat. Mereka sebagai gambaran bagi ibadat zakat dan haji.

Dengan olahan serba santai namun cukup bermakna ini, dapat memesrakan masyarakat awam Jawa yang ketika itu masih menganut Hindu dan Buddha agar memahami inti ajaran Islam. Keberhasilan dari usaha Sunan Kalijaga, mereka memeluk Islam.

Lalu mereka dibawa menyertai majlis ilmu ke arah pemantapan kefahaman Islam. Dalam erti kata lain, semakin ramai yang mengikuti wayang kulit Sunan Kalijaga, maka semakin ramailah yang kemudian membanjiri sesi-sesi ilmunya.

Lagu Lir Ilir yang cukup inspiratif

Maksud Lir Ilir adalah ‘Bangkitlah, Bangkitlah!’. Memahami judul lagu pun sudah membuatkan kita faham bahawa ia mengandungi falsafah hidup yang menginspirasikan.

Di dalam lagu ini, Sunan Kalijaga mengumpamakan manusia ibarat tanaman hijau yang perlu sentiasa disuburi dengan siraman iman. Ia perlu dipersiapkan untuk musim menuai sebagai gambaran bagi hari akhirat yang membahagiakan.

Begitu juga di dalam lagu ini termuat mesej politik yang bersendikan agama. Penceritaan berkenaan anak gembala membawa mesej bahawa umat Islam mesti pandai memimpin dengan amanah.

Anak gembala itu perlu memanjat pokok belimbing yang licin. Buah belimbing berbucu lima menggambarkan Rukun Islam. Sekalipun pokok itu licin menyebabkan ia sukar dipanjat, anak gembala tersebut tetap berusaha tidak berputus asa.

Ternyata Sunan Kalijaga menerapkan Islam dengan kefahaman cara hidup yang sentiasa membangun, berusaha dan berjasa. Ia sama sekali berbeza dengan konsep fatalistik yang terselit dalam anutan-anutan lain.

Manhaj dakwah kreatif Sunan Kalijaga

Beliau adalah seorang ulamak yang amanah dengan ilmu, serius dengan objektif dan cermat menguruskan sasaran dakwah. Melihat hasil-hasil dakwahnya, kita boleh merumuskan bahawa Sunan Kalijaga memiliki taraf falsafahnya yang tersendiri dan luar biasa.

Beliau tidak memandai-mandai, bermain-main apatah lagi mempertaruhkan kefahaman umat untuk bereksperimen atas nama kononnya dakwah kreatif. Sebaliknya Sunan Kalijaga sudah pasti melalui proses pengamatan realiti serta kajian yang menyeluruh agar strategi dakwahnya menjadi. Berikut beberapa perkara yang boleh kita pelajari:

(1) Sunan Kalijaga menerapkan falsafah hidup Islam yang jika disyarahkan secara akademik sudah pasti kedengaran berat. Lalu beliau mengolah mesej yang berat menjadi ringan dan merakyat. Usaha tersebut dilaburkan agar dapat membina daya intelektual masyarakat yang terhormat.

(2) Beliau hanya meraikan adat budaya berhibur masyarakat yang telah sedia berdarah daging secara berpada dan berobjektif. Bermaksud, ia telah sedia ada dan beliau tidak ‘tumpang sekaki untuk enjoy’. Sebaliknya beliau bersedia bersaing nilai secara terbuka dengan penuh berdikari.

(3) Hasil-hasil dakwah kreatif Sunan Kalijaga adalah karya aslinya. Beliau tidak menempel dengan hanya menukar seni kata atau kosmetik pada watak wayang semata-mata. Beliau tahu jika dengan gaya ‘segampang’ itu, elemen jahiliyah yang bersarang dalam bahan-bahan hiburan tersebut masih lagi tersemat membawa pengaruh negatif.

(4) Sunan Kalijaga mengusahakan konsep wayang serta lagunya sendiri, judulnya sendiri, jalan ceritanya sendiri, mesejnya yang tersendiri dan jenamanya sendiri. Bermaksud beliau memiliki idea yang segar dan sangat menarik perhatian massa. Bukan hanya menciplak produk hiburan orang lain kemudian diselitkan gimik-gimik Islamik.

(5) Beliau jelas dalam mengaplikasikan media dakwah yang berobjektif. Masyarakat beransur-ansur bersama Islam, meninggalkan budaya yang lalai dan semakin mendekati agenda ilmu Sunan Kalijaga.

(6) Keberhasilan dakwah terletak kepada hasil, ke manakah masyarakat mahu dibawa selepas bersantai dengan dakwah kreatif. Ternyata mereka menjadi umat yang memiliki hala tuju dunia dan akhirat yang jelas.

(7) Sunan Kalijaga membawa masyarakat Jawa agar mengikuti gagasan dakwah Islamnya. Bukannya beliau yang hanyut atas alasan mahu berasimilasi dengan budaya setempat dan trend semasa.

Sesungguhnya Sunan Kalijaga memiliki disiplin yang cukup tersusun dalam mengaplikasikan dakwah kreatifnya. Beliau tidak jumud, pada masa yang sama beliau juga tidak pragmatik.

Maka tidak peliklah hasil dari dakwah Sunan Kalijaga, dapat mengIslamkan masyarakat Jawa ketika itu. Bahkan, demikian jugalah faktor berdirinya Kerajaan Islam di sana. Semoga Allah merahmati roh Sunan Kalijaga dan mengurniakan buatnya pahala yang kekal mengalir.

Ke manakah kita mahu membawa umat?

Imam Ibnu Jauzi ada menyentuh berkenaan keculasan puak qussas dan wu’ ‘az yang karut dalam berdakwah kerana tidak memiliki ilmu. Mereka gemar memainkan bahan hiburan kemudian ditempelkan dengan elemen-elemen ketuhanan. Sedangkan sifatnya yang berorientasikan hiburan yang mendungukan, masih lagi kuat tersisa.

Terkadang hari ini, ramai yang terangsang untuk berdakwah tetapi tidak memahami Feqh Dakwah dengan cermat. Mereka jauh dari ilmu sedangkan Islam berdiri di atas ilmu.

Akhirnya mereka bersikap selektif terhadap kecenderungan-kecenderungan peribadi mereka sendiri. Lantas ia disalut dengan gimik-gimik Islamik sebagai justifikasi kononnya itulah dakwah kreatif. Sedangkan gejala tersebut hanyalah helah untuk menipu diri sendiri.

Jika Sunan Kalijaga memiliki ideanya yang mencerahkan masyarakat, apakah kita sanggup menumpang produk hiburan orang lain, lalu hanya menampal hashtag-hashtag Islamik bagi menyedapkan rasa untuk mengaku bahawa itulah dakwah kreatif?

Sedangkan masyarakat terkeliru apakah sebenarnya yang ingin ditonjolkan dan mereka tidak mendapatkan kefahaman Islam dari gaya-gaya palsu tersebut. Sedarilah, zaman sekarang adalah zaman persaingan idea, bukan zaman ciplak-menciplak.

USTAZ ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD – HARAKAHDAILY 23/7/2020