K’jaan DAP dinasihat batalkan sahaja PSR

KUALA LUMPUR: Kerajaan DAP Negeri Pulau Pinang adalah dinasihatkan supaya membatalkan hasrat untuk meneruskan projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) yang sehingga kini dibentangkan belum memenuhi kelulusan syarat berkaitan.

Advertisement

ADUN Penaga, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah berkata, jawapan dibentangkan di Parlimen telah mengesahkan bahawa Laporan Pelan Pengurusan Persekitaran (EMP) belum dipenuhi penggerak projek untuk kelulusan Jabatan Alam Sekitar.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat merujuk kepada jawapan Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man pada sesi soal jawab lisan semasa Sidang Dewan Rakyat, di sini sebentar tadi.

EMP merupakan salah satu syarat utama daripada syarat-syarat kelulusan Kajian Penilaian Alam Sekitar (EIA) yang perlu dipatuhi sebelum penggerak projek memulakan sebarang kerja di tapak sebagaimana ketetapan diwajibkan.

Bidas Mohd Yusni, hampir 10 tahun berlalu, Kerajaan DAP hanya mensia-siakan masa yang sepatutnya ditumpu bagi menyelesaikan segera isu utama iaitu masalah aliran trafik dalam Pulau Pinang, tetapi telah tersasar ke ‘projek politik’ itu.

“Ini bukan lagi kelemahan, tetapi petunjuk kegagalan. Pihak Kerajaan DAP Pulau Pinang terlalu ghairah membangunkan projek mega yang lain, tetapi masalah sebenar yang mahu diselesaikan kini telah 10 tahun disia-siakan.

“Lebih teruk, semua pakej cadangan projek mega ini membawa kesan buruk bukan sahaja kepada alam sekitar, tetapi juga impak sosio-ekonomi, warisan dan budaya penduduk tempatan. Mereka akan bukan sahaja akan hilang pekerjaan, tetapi juga bakal terusir dari kehidupan di sini.

“Maka elok sahaja PSR dibatalkan dan Kerajaan DAP Pulau Pinang sebaliknya kembali kepada tujuan asal untuk menangani isu kesesakan atau aliran trafik yang merupakan masalah mesti diselesaikan sebenarnya,” gesa beliau. – HARAKAHDAILY 23/7/2020