Pelitup muka wajib pakai mulai 1 Ogos

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini memutuskan bahawa mulai 1 Ogos pemakaian pelitup muka di dalam pengangkutan awam dan tempat-tempat awam yang bersesak adalah diwajibkan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakub, berkata keputusan itu dibuat berikutan terdapat peningkatan kes baharu positif Covid-19 setiap hari yang kini kembali kepada dua angka.

Advertisement

Katanya, pemakaian pelitup muka itu diwajibkan di dalam pengangkutan awam serta kawasan tumpuan ramai seperti pasar dan pasar tani yang dilihat tiada penjarakan sosial berlaku.

“Orang ramai dibenarkan memakai topeng muka yang dijahit sendiri tetapi mengikut spesifikasi yang dibenarkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

“Kementerian Kesihatan akan mengeluarkan spesifikasi untuk topeng muka buatan sendiri itu di media massa dan sosial supaya orang ramai boleh jahit sendiri pelitup muka,” katanya

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar khas selepas mesyuarat menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Parlimen, hari ini.

Menurut Ismail Sabri, kerajaan tidak mewajibkan pemakaian pelitup muka sebelum ini kerana mengambil kira golongan yang berpendapatan rendah mungkin akan terbeban.

“Ini kerana pemakaian pelitup muka diguna secara pakai buang yang sebaiknya digunakan untuk setiap keping bagi tempoh tiga jam atau sekurang-kurangnya sehari.

“Oleh itu, mulai sekarang boleh mula membuat pelitup muka sendiri kerana apabila menaiki kenderaan awam pada 1 Ogos nanti, jika gagal mematuhi arahan ini mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Akta 342 seperti kompaun RM1,000, dihadap ke mahkamah dan sebagainya,” tegas beliau.- HARAKAHDAILY 23/7/2020