Buang bayi: Sampai bila?

PEMBUNUHAN anak versi jahiliyah VS moden

Pembunuhan anak sejak dahulu sehingga kini menunjukkan bahawa manusia hilang pedoman. Jika dahulu di zaman Arab Jahiliyah berlaku pembunuhan anak kerana berasa aib dan juga bimbang atas kefakiran, namun pembunuhan anak versi moden lebih kerana mahu menutup aib kesalahan sendiri ekoran keterlanjuran yang dilakukan bersama pasangan cinta dan sebagainya.

Allah melarang pembunuhan nyawa kerana nyawa adalah amat bernilai yang mesti dipelihara. Menjaga nyawa berada di tangga kedua selepas menjaga agama dalam perbahasan disiplin ilmu Maqasid al-Syariah.

Advertisement

Malah pembunuhan nyawa bayi atau anak-anak pula disebutkan secara khusus walaupun telah ada ayat melarang pembunuhan nyawa secara umum. Ia secara realiti kes yang berlaku dan hakikatnya pembunuhan nyawa bayi atau kanak-kanak adalah lebih kejam dan zalim malah tidak ada perikemanusiaan merana bayi atau kanak-kanak belum mengerti apa apa lagi.

Firman Allah S.W.T:

وَلَا تَقۡتُلُوۤا۟ أَوۡلَـٰدَكُمۡ خَشۡیَةَ إِمۡلَـٰقࣲۖ نَّحۡنُ نَرۡزُقُهُمۡ وَإِیَّاكُمۡۚ إِنَّ قَتۡلَهُمۡ كَانَ خِطۡـࣰٔا كَبِیرࣰا

“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar.”

[al-Isra’: 31]

Berdasarkan statistik oleh Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak PDRM, terdapat sebanyak 577 kes pembuangan bayi dan janin direkodkan antara Januari 2014 hingga Disember 2018.

Negeri Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 135 kes dalam tempoh lima tahun itu diikuti Sabah (67 kes), Johor dan Kuala Lumpur (62 kes), Kedah (42 kes), Perak (35 kes) dan Pahang (33 kes).

Analisis ke atas statistik itu mendapati individu yang membuang bayi atau janin sering menjadikan kawasan perumahan sebagai lokasi melakukan kegiatan itu.

Selain itu, suspek didapati gemar membuang bayi atau janin di dalam tandas (74 kes), pusat pembuangan sampah (51 kes), masjid dan surau (44 kes), loji, longkang dan pusat kumbahan (44 kes), tepi kedai dan bangunan (33 kes), tepi jalan (28 kes) dan semak (23).

Cegah jalan maksiat zina segenap sudut

Susulan ayat 31 dalam surah al-Isra’ yang melarang pembunuhan anak disebabkan bimbang kefakiran dan merasai aib, ayat seterusnya adalah berkenaan larangan mendekati zina. Ia signifikan bahawa faktor besar ialah zina merupakan penyebab berlakunya ‘kelahiran anak buangan’ yang akhir mati terbunuh, jika bernasib baik, masih hidup dalam keadaan yang sadis.

Firman Allah S.W.T:

وَلَا تَقۡرَبُوا۟ ٱلزِّنَىٰۤۖ إِنَّهُۥ كَانَ فَـٰحِشَةࣰ وَسَاۤءَ سَبِیلࣰا

“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”

[al-Isra’: 32]

Sememangnya Islam amat menekankan soal penjagaan awal bagi pencegahan kepada perkara negatif seperti ini ekoran permasalahan sosial percampuran lelaki dan perempuan. Syariat Islam menggariskan:

(1) Pemakaian pematuhan syariah: menutup aurat dan tidak berlebihan (tabarruj) sehingga menarik perhatian yang bukan mahram.

(2) Menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan.

(3) Tidak berkhalwat.

(4) Galakan bernikah bagi yang berkemampuan dan berpuasa bagi yang tidak berkemampuan.

(5) Menjaga syaksiah dalam pertuturan percakapan dan gerak-geri yang sopan lagi tidak menggoda.

Hal-hal ini adalah penjagaan awal jika dilaksanakan sebaik mungkin, individu seseorang tersebut telah berusaha memelihara diri dari awal.

Firman Allah S.W.T:

.. فَلَا تَخۡضَعۡنَ بِٱلۡقَوۡلِ فَیَطۡمَعَ ٱلَّذِی فِی قَلۡبِهِۦ مَرَضࣱ وَقُلۡنَ قَوۡلࣰا مَّعۡرُوفࣰا * وَقَرۡنَ فِی بُیُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجۡنَ تَبَرُّجَ ٱلۡجَـٰهِلِیَّةِ ٱلۡأُولَىٰۖ..

“Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan). Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu.”

[al-Ahzab: 32 – 33]

Didik sifat malu sejak kecil

Masalah yang melibatkan percampuran sosial ini antaranya juga penyebab apabila hilangnya rasa malu yang ada dalam diri manusia. Akhirnya mereka sanggup lakukan apa keinginan syahwat bagi memenuhi seksual bermula dengan ‘berkasih sayang’ sehinggalah terlanjur.

Sekalipun masih malu jika dilihat oleh manusia sekeliling, namun mereka hilang malu pada ‘pemerhatian’ Allah. Benarlah malu itu merupakan satu cabang dari iman kerana ia benteng dari manusia melakukan maksiat sama ada secara terang atau sembunyi.

Abu Mas’ud Uqbah bin Amr Al Anshary Al Badry meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

إِنَّ مِمَّا أَدْرَكَ النَّاسُ مِنْ كَلاَمِ النُّبُوَّةِ الأُوْلَى، إِذَا لَمْ تَسْتَحِ فَاصْنَعْ مَا شِئْتَ

“Sesungguhnya ungkapan yang telah dikenal orang-orang dari ucapan Nabi-nabi terdahulu adalah: Jika engkau tidak malu perbuatlah apa yang engkau suka.”

(Riwayat al-Bukhari)

Semai sifat malu dalam diri yang tidak hanya malu pada manusia di sekeliling tetapi malu pada Allah dan para malaikat-Nya. Biar manusia memiliki sifat malu yang kena pada tempatnya yang selayaknya sebagaimana ulasan saya berkaitan sifat malu sebelum ini di pautan: [1]

Malu menjadi benteng manusia seperti berikut:

(1) Malu mencegah dari melakukan maksiat sekalipun manusia tidak nampak dan ketahui.
(2) Malu agar memelihara penampilan diri di hadapan khalayak bukan mahram sama ada secara bersemuka dan di dalam media sosial.
(3) Malu dalam pemakaian agar anggota yang merupakan aurat tidak didedah.
(4) Malu dalam komunikasi agar tidak mendedahkan aib dan maruah dalaman diri kepada orang awam.

Semua mesti berperanan dalam mendidik dan mencegah

Dalam hal ini semua pihak mestilah proaktif dan progresif kerana kes pembuangan bayi bukanlah hal remeh. Ia melibatkan nyawa bayi yang tidak berdosa. Tidak ada manusia yang waras sanggup melihat kematian bayi kerana dibuang oleh pasangan atau ibu yang melahirkannya.

Ibu bapa pantau dan ambillah tahu keadaan anak-anak dengan siapa mereka berkawan dan ke mana mereka pergi. Pernah terjadi satu beritahu tahun 2010 atau 2011 jika tidak silap, 1 pasangan ditangkap basah di hotel murah seawal jam 1 atau 2 pagi. Gadis tersebut berumur 16 tahun iaitu tingkatan 4 manakala pasangan lelakinya berumur 17 tahun iaitu tingkatan 5. Alasan gadis tersebut ialah keluar ke rumah kawan untuk ulangkaji pelajaran.

Jiran, komuniti dan masyarakat setempat perlu ada kesedaran dan cakna keadaan sekeliling. Jika terdapat pasangan yang mencurigakan secara sangkaan kuat perlu dibuat laporan agar bertindak pantas menyiasat untuk mencegah. Dalam Islam, tidak ada istilah ‘keakuan’ iaitu hanya memikirkan soal peribadi sendiri sehingga abai tanggungjawab kepada jiran dan masyarakat setempat. Sedangkan, jika terdapat jiran lapar pun, jiran berdekatan bertanggungjawab untuk membantu.

Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

لَيْسَ الْمُؤْمِنُ الَّذِي يَشْبَعُ وَجَارُهُ جَائِعٌ إِلَى جَنْبِهِ

“Bukanlah mukmin sejati, orang yang kenyang, sementara tetangga di sampingnya kelaparan.”

(Riwayat Abu Ya’la)

Pihak kerajaan dengan punca kuasa yang ada boleh kuatkuasakan apa sahaja pendidikan yang sewajarnya diteladani oleh masyarakat seawal mungkin agar soal batasan percampuran lelaki dan perempuan bukan mahram dapat dikawal. Sebagaimana cadangan yang dibuat untuk dilaksanakan di Terengganu seperti pengasingan tempat duduk dalam pawagam serta idea cadangan pelaksanaan di Kelantan untuk kompaun bagi umat Islam yang berpakaian seksi yang tidak sewajarnya serta idea-idea lain dalam mencegah tempat yang menjadi spot khalwat.

Selain itu juga, wajar dipertimbangkan mungkin oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Multimedia agar menyekat laman sesawang yang pornografi dan tidak sihat kerana pengaruh media sosial yang tanpa sempadan juga pemangkin kepada gejala keterlanjuran dalam percampuran sosial serta apa sahaja yang wajar difikirkan untuk dikuatkuasakan.

Cegah punca, baby hatch bukan segalanya

Pelaksanaan baby hatch ada kebaikannya jika diuruskan dengan tepat dan jangan sampai pula dimanipulasi sehingga menjadi pemangkin kepada galakan berlakunya gejala-gejala yang membawa kepada kelahiran anak luar nikah. Baby hatch adalah pasca kepada kelahiran anak tersebut. Punca utamanya ialah percampuran sosial yang berlaku.

Sebab itu pembuangan bayi yang dilahirkan luar nikah adalah susulan kepada maksiat percampuran sosial dan zina umumnya. Justeru, perkara lebih utama ialah menyekat apa sahaja jalan maksiat zina sebagaimana beberapa cadangan asas di atas sebelum ini.

Dahulu terdapat idea untuk pemberian kondom percuma kononnya bagi mengelakkan berlakunya kelahiran bayi luar nikah dengan kaedah seks selamat menerusi pemberian kondom. Namun jelas idea ini sangat menjengkelkan dan terlalu Liberal kerana walau alasan pihak mereka ialah setiap orang berhak merasai kepuasan diri. Ia tertolak dan tidak diterima oleh agama dan uruf di sini. Idea tersebut hanya lebih merosakkan masyarakat. Ia idea Liberal tanpa pedoman agama

Kita lebih mahukan kawalan, pendidikan dan pencegahan. Menundukkan pandangan adalah jalan terbaik untuk bendung pengaruh yang merangsang seksual. Jika di Kelantan, telah dilaksanakan penguatkuasaan iklan di papan iklan dengan model iklan mesti menutup aurat, maka moga-moga ia dapat diperluaskan ke seluruh negara pula dengan kuasa yang ada.

Syeikh Muhammad Ali as-Sobuni menyatakan hikmah pada ayat 30 dan 31 surah an-Nur yang mendahulukan menundukkan pandangan terlebih dahulu dari menjaga kemaluan kerana punca rangsangan bermula dari penglihatan.

USTAZ DR MUHAMAD ZUHAILI DR HJ SAIMAN
Pengerusi
Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis (LPUP),
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 24/7/2020

[1] https://bit.ly/2y6DuA8