PAS cadang martabat Mahkamah Syariah

Tubuhkan Mahkamah Syariah 5 Hierarki

Martabat Mahkamah Syariah
Ahli Parlimen Sik

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman meminta Kerajaan Persekutuan memartabatkan kedudukan Mahkamah Syariah dengan menubuhkan lima hierarki bagi sistem perundangannya seperti mana Mahakamah Sivil.

Katanya, langkah mewujudkan lima lapisan hierarki Mahkamah Syariah ini wajar dijadikan langkah pertama untuk kerajaan hari ini memrtabatkan Mahkamah Syariah seperti mana yang dilakukan oleh Negeri Perak.

Advertisement

“Negeri Perak ketika ini merupakan satu-satunya negeri yang mempunyai empat hierarki Mahkamah Syariah, negeri lain hanya mempunyai tiga hierarki sahaja. Saya berharap Wilayah Persekutuan dan negeri-negeri lain mengikuti langkah ini bukan sahaja ada empat hierarki mahkamah syariah, tetapi lima hierarki sama seperti Mahkamah Sivil,” ujarnya.

Mengulas lanjut, menurut Ahmad Tarmizi, keanggotaan Mahkamah Syariah, iaitu hakim-hakimnya juga wajar dilantik sepertimana hakim di Mahkamah Sivil dan pelantikan hakimnya mestilah bebas dari kongkongan menjadi penjawat awam.

Hal ini kerana ia dikhuatiri menghakis kebebasan mereka membuat keputusan yang adil dan saksama.

Malah, panel Mahkamah Rayuan Syariah dan Mahkamah Utama Syariah hendaklah dari kalangan panel yang tetap, katanya ketika berucap membahaskan Ucapan Titah Diraja di Parlimen, semalam.

Ahmad Tarmizi dalam masa sama menyifatkan PH sebelum ini telah gagal menunaikan janji mereka apabila Akta Profesion Guaman Syarie 2019 tidak berjaya diwartakan.

Kata beliau, ia boleh diumpamakan dengan hangat-hangat tahi ayam apabila akta tersebut berjaya diluluskan, namun tidak diambil tindakan seterusnya.

“Menteri ketika itu mendakwa mereka dapat menggubal akta ini tak sampai setahun berkuasa berbanding kerajaan sebelum ini mengambil masa puluhan tahun.

“Namun usaha kerajaan diterajui PH ini macam ‘hangat-hangat tahi ayam sahaja’ kerana selepas diluluskan sehinggalah PH tumbang akibat persengketaan dalaman sendiri, Akta tersebut tidak diwartakan lagi sehingga ke hari ini,” katanya sinis.

5 Disember 2018, Dewan Undangan Negeri Perak telah meminda Enakmen Pentadbiran bagi menubuhkan Mahkamah Utama Syariah Negeri Perak yang telahpun bersidang buat pertama kali pada 15 Julai lepas.

Untuk rekod, Perak merupakan satu-satunya negeri yang mempunyai empat lapisan mahkamah dalam sistem kehakiman syariah apabila Duli Yang Maha Mulia, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudidin Shah memperkenan mewujudkan satu lagi lapisan mahkamah rayuan.- HARAKAHDAILY 24/7/2020