Isu TH: Penubuhan RCI akan diputuskan PM

KOTA BHARU: Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Tabung Haji (TH) adalah perkara yang besar dan perlu dibawa ke kabinet dan ia hanya boleh diputuskan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary.

Advertisement

Menurutnya, apa yang penting kerajaan akan memastikan aset TH dan soal pengurusan haji serta masa depan sejumlah 9.3 juta pendeposit haji, akan dijaga sebaik mungkin walaupun belum diumumkan sama ada perlu penubuhan RCI ataupun tidak.

“Setakat ini kerajaan belum memutuskan sebarang bentuk siasatan…mungkin siasatan dalaman, tetapi semua maklumat yang disampaikan kepada kerajaan sama ada melalui perbahasan ahli Parlimen atau melalui memo yang dihantar akan diteliti oleh kerajaan.

“Kita akan lihat perkara itu dengan sewajarnya… apa keperluan yang perlu dibuat. Apa yang penting kerajaan akan menentukan hala tuju yang jelas kepada pengurusan dan pentadbiran TH.

“Sebagai contoh kerajaan akan melihat mungkin ada anak syarikat yang tidak berdaya saing akan distruktur semula,” katanya kepada pemberita, selepas merasmikan Mesyuarat Dewan Pemuda PAS Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Tambahnya, siasatan dalaman secara rasmi belum diumumkan, tetapi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, sudah beberapa kali membuat perbincangan dan memanggil pengurusan TH.
 
“Walaupun begitu, ia tidaklah dianggap sebagai siasatan tetapi sebahagian cara untuk mencari penyelesaian kepada permasalahan yang berbangkit,” katanya.

Katanya ia juga adalah bagi mencari dan mengenal pasti kesahihan mengenai perkara yang dibangkitkan, sama ada benar atau pun tidak.

“Kita perlu faham, sebagai contoh TH Plantation itu adalah ‘public listed company’ yang mana kadang kala kita juga boleh dapatkan maklumat daripada ‘public available info’ terhadap apa-apa yang didakwa dalam perbahasan parlimen ataupun dakwaan di luar parlimen.

“Kita mengambil peduli semua itu dan membuat pengenalpastian sama ada benar ataupun tidak, sebelum mengambil langkah seterusnya.

“Soal penubuhan RCI walaupun banyak dicadangkan oleh ahli Yang Berhormat atau orang awam, tetapi ianya buat masa ini masih dalam pertimbangan kerajaan,” katanya. – BERNAMA