Pendeta Za’ba berjuang menerusi tulisan

JEMPOL: Pendeta Za’ba cukup dikenali sebagai seorang sasterawan, ahli bahasa, ahli falsafah, tokoh politik dan pemikir ekonomi yang banyak memberi sumbangan besar kepada kemajuan bangsa dan negara.

Advertisement

Bahkan, pemilik nama sebenar Tan Sri Zainal Abidin Ahmad itu tidak lelah menyuntik semangat juang anak bangsa ketika memperjuangkan kemerdekaan negara dan banyak hasil penulisannya masih kekal segar sehingga kini.

Menceritakan perihal tokoh berkenaan, Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan Dr Shamsuddin Ahmad dalam satu temu bual bersama Bernama baru-baru ini berkata ketokohan Pendeta Za’ba bermula daripada penulisan di atas daun pisang.

“Sejak kecil Pendeta Za’ba suka menulis di atas daun pisang menggunakan pensel yang diperbuat daripada ranting kayu, ayahnya yang memerhati dari jauh mendapati anaknya itu boleh menulis lalu  menghadiahkan sekeping batu kepadanya.

“Bermula daripada sekeping kalam batu itulah Pendeta Za’ba mula belajar menulis tulisan jawi dan mengasah bakatnya dalam penulisan,” katanya dan menambah kalam batu berusia lebih 100 tahun dibingkaikan dengan kayu itu boleh disaksikan di ruang pameran Teratak Za’ba di Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir di sini. 
 
Rentetan peristiwa itu, pemikiran tokoh berkenaan yang jauh melangkaui zamannya serta berfikiran luar daripada kebiasaan berbanding kebanyakan masyarakat Melayu ketika itu, menjadi pencetus semangat kepadanya untuk menghasilkan penulisan yang membawa kesedaran betapa pentingnya ilmu dan pendidikan kepada kemajuan rakyat.

Penulisan yang dihasilkan itu turut disiarkan di akhbar dan majalah tempatan seperti Utusan Melayu dan Lembaga Melayu malah beliau turut menerbitkan beberapa siri monograf dalam bahasa Melayu.  

Dilahirkan pada 16 September 1895 di Kampung Bukit Kerdas, iaitu kira-kira 62 tahun sebelum negara mencapai kemerdekaan, Pendeta Za’ba yang mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu di Batu Kikir, Jempol pada 1907 kata Shamsuddin, merupakan seorang yang lantang memberi kritikan terhadap pentadbiran kolonial Inggeris.

“Beliau juga turut terlibat dalam kegiatan politik bagi menyatukan suara-suara orang Melayu untuk menuntut kemerdekaan daripada penjajah Inggeris.

“Pendeta Za’ba pernah dilantik menjadi Yang Dipertua Persatuan Melayu Selangor dan bertindak sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Kongres Melayu Se-Malaya, kemudian lahirnya Umno.
 
“Melalui usaha ini, kewujudan suara orang Melayu dapat disatukan di bawah satu pertubuhan bagi menuntut kemerdekaan daripada penjajah Inggeris,” kata Shamsuddin.

Beliau berkata keperibadian tokoh yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik itu yang amat mencintai bidang keilmuan, turut menyumbang kepada wujudnya sistem bahasa Melayu moden sebagai wadah kepada penyatuan semangat perpaduan negara.

“Sumbangan beliau dalam bahasa Melayu moden membuahkan hasil apabila sistem pendidikan kebangsaan menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya sekali gus menjadikan ia sebagai bahasa pengantara dan perpaduan,” katanya.

Merupakan antara sebilangan kecil anak Melayu yang berasal dari kampung namun berjaya menempatkan diri dalam bidang profesional, Pendeta Za’ba memulakan kerjaya sebagai guru di English College, Johor Bahru pada 1916 sebelum bertukar ke Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak pada 1918.

Beliau kemudiannya menjadi pensyarah Bahasa Melayu di School of Oriental dan African Studies di University of London pada 1947 sebelum menjadi Pensyarah Kanan dan juga Ketua Jabatan Pengajian Melayu pertama di Universiti Malaya, Singapura pada 1953.

Pendeta Za’ba meninggal dunia ketika berusia 78 tahun pada 23 Okt 1973. – BERNAMA