PRK DUN Slim: Tiada pertembungan antara PN

IPOH: Perikatan Nasional (PN) negeri Perak yang terdiri daripada Barisan Nasional (BN), PAS dan Bersatu, akan menyokong siapa sahaja yang dinamakan sebagai calon, dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, bulan depan.

Advertisement

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga Pengerusi BERSATU Perak berkata, ketiga-tiga parti sepakat agar tiada pertembungan antara mereka dalam PRK tersebut, dan memberi sokongan kepada sesiapa sahaja bagi mewakili gabungan PN. 

Alhamdulillah, hari ini parti daripada Perikatan Nasional bersatu hati, pastikan tidak ada berlaku pertembungan di antara kami, di dalam PRK tersebut.

“Kita (PN) akan pilih seorang calon dan ketiga-tiga parti akan memberi sokongan penuh kepada calon tersebut,” katanya kepada pemberita.

Beliau terdahulu menyaksikan pertukaran dokumen Komitmen Pelaburan Negeri Perak, melibatkan tujuh syarikat dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, semalam.

PRK DUN Slim akan diadakan 29 Ogos, berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai lepas. 

Pada PRU14 pada 2018, Mohd Khusairi yang mewakili BN mengekalkan kerusi DUN Slim dengan majoriti 2,183 undi, menewaskan calon BERSATU yang bertanding atas tiket PKR Mohd Amran Ibrahim, dan calon PAS Muhammad Zulfadli Zainal.

Perak mempunyai 59 kerusi DUN dan daripada jumlah itu 32 membentuk Perikatan Nasional, terdiri daripada 25 BN yang kesemuanya Umno, BERSATU (empat), PAS (tiga) manakala DAP (16), PAN (lima), PKR (tiga), Bebas (dua) serta GERAKAN (satu). – BERNAMA