Utamakan kebajikan keluarga mangsa kemalangan

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta tidak terburu-buru dalam meminda Akta Pengangkutan Jalan (Akta 333) sebaliknya perlu dilakukan secara menyeluruh terutama membabitkan kebajikan keluarga mangsa.

Advertisement

Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek berkata rasa kebertanggungjawaban perlu ada dalam individu yang disabit kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah atau secara berbahaya.

“Jika setakat meminda undang-undang dan menaikkan hukuman denda dan penjara, ia tidak menyelesaikan masalah sebenar. Kita kena selidik dengan mendalam dan menyemak undang-undang tersebut lalu dimanfaatkan.

“Sebab itu, jangan terburu-buru hendak meminda undang-undang. Isu yang timbul apabila ia membabitkan kematian dan perkara ini langsung tidak dibincangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam program Suara Profesor Negara: Pasca COVID-19: Pemandu Mabuk dan Kemalangan: Pendidikan atau Hukuman Berat? yang disiarkan secara langsung di laman Facebook Bernama TV, semalam.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata kebajikan keluarga mangsa perlu menjadi keutamaan dalam pindaan undang-undang tersebut agar individu yang menyebabkan kecederaan parah atau kematian sedar bahawa kesalahannya telah mengakibatkan kehilangan nyawa.
 
“Ini (kebajikan keluarga mangsa) adalah lebih penting tetapi tiada peruntukan mengenainya. Betul,  kita hendak menghukum, tetapi apa jadi dengan kebajikan mangsa dan keluarganya?

“Kita tidak nafikan hak untuk meminum minuman keras tetapi perlu ada tanggungjawab dan kita juga perlu bangkitkan serta tanamkan kesedaran itu dalam diri masing-masing,” katanya yang juga Profesor Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan.

Pada 15 Julai lepas, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memberitahu persidangan Dewan Rakyat mengenai pindaan Akta Pengangkutan Jalan membabitkan Seksyen 41 hingga 45.

Ia berkaitan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah dan memandu secara melulu untuk membolehkan hukuman lebih berat dikenakan, akan dibentang pada sesi yang sedang berlangsung.

Wee juga dilapor berkata kerajaan akan mengusulkan had kandungan alkohol dalam darah, air kencing dan nafas yang dibenarkan menurut Akta Pengangkutan Jalan bagi pemanduan di bawah alkohol diturunkan selaras dengan piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). –BERNAMA