2,897 individu digesa jalani saringan COVID-19 kedua

(arkib) Foto Solahuddin al-Idrus

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi tempoh dua hari bermula semalam kepada 2,897 individu yang masih belum tampil menjalani saringan Covid-19 kedua pada hari ke-13 kuarantin.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan menangkap dan mendakwa di mahkamah mana-mana individu berkenaan yang masih gagal melakukan ujian saringan kedua, mulai Isnin ini.

Advertisement

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata individu yang terbabit diarahkan untuk menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang terdekat untuk melakukan ujian saringan.

Sementara itu katanya, kerajaan telah memutuskan supaya semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dan warganegara asing yang masuk ke negara ini perlu menjalani perintah kuarantin wajib 14 hari di stesen kuarantin yang ditetapkan kerajaan.

Tambah beliau, individu yang terlibat perlu menanggung sepenuhnya kos kuarantin termasuk kos ujian saringan Covid-19.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 319 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di empat stesen kuarantin di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor sejak Jumaat.

“Mereka telah pulang dari 12 negara iaitu Indonesia, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, China dan Australia,” ujarnya dalam satu kenyataan harian, Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semalam.

Bagaimanapun katanya, keputusan untuk membuka semula stesen kuarantin untuk perintah kuarantin wajib 14 hari dilaksanakan setelah mengambil kira peningkatan kes import dan ketidakpatuhan SOP yang menyebabkan peningkatan risiko penularan jangkitan Covid-19.

Ismail Sabri berkata, seramai 9,600 individu masih menjalani proses kuarantin wajib di rumah masing-masing.

Dalam masa yang sama, katanya, Pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama anggota PDRM akan membuat pemeriksaan mengejut (spot-check) untuk memastikan semua yang terlibat mematuhi SOP yang ditetapkan. – HARAKAHDAILY 26/7/2020