Ahli Majlis PN erat agenda bersama

TELUK INTAN: Majlis Ramah Mesra bertujuan untuk suai kenal antara Ahli Majlis Perbandaran Teluk Intan lantikan politik telah diadakan di KOMPASTI Kampung Padang Tembak, di sini kelmarin.

Advertisement

Ahli Perhubungan PAS Negeri Perak, Mohd Azhar Rafie dalam ucapannya menyatakan bahawa majlis ini diadakan bertujuan untuk berkenalan dan menjalinkan hubungan baik antara sesama Ahli Majlis khususnya dari parti PAS, Umno dan BERSATU.

“Senario politik negara berubah secara mendadak semenjak 18 Mei yang lalu menyaksikan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan dan diganti dengan Perikatan Nasional.

“Gabungan parti Melayu terbesar iaitu PAS dan Umno juga telah memberi harapan baru kepada rakyat yang mahu melihat kemakmuran dan kesejahteraan negara terjaga dengan baik.

“Oleh itu, Ahli Majlis yang baru dilantik ini harus bersatu menggalas amanah besar dalam memenuhi keperluan dan menjaga kesejahteraan masyarakat setempat,” ujarnya.

Turut hadir pada majlis petang itu ADUN Changkat Jong, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin yang juga merupakan Ketua Umno Bahagian Teluk Intan.

Dalam ucapannya beliau menekankan bahawa Ahli Majlis berperanan besar dalam melestarikan keperluan dan keselesaan hidup rakyat setempat.

“Rakyat melihat bahawa core business Ahli Majlis adalah berkaitan menangani isu tempatan seperti isu longgokan sampah, masalah longkang tersumbat dan sebagainya.

“Sebarang kegagalan Ahli Majlis dalam menyelesaikan masalah ini mencacatkan pandangan rakyat tempatan terhadap peranan Ahli Majlis.

“Namun pada hakikatnya Ahli Majlis juga adalah pembuat dasar dan berperanan sebagai perantara dan pemudah cara untuk rakyat tempatan mendapatkan kemudahan dan bantuan yang diperlukan dari pihak kerajaan,” katanya.

Ahli Majlis dari PAS, Hamisah Abas memberitahu, sebagai permulaan, Ahli Majlis dari PAS dan Umno telah berjaya mengekang perlesenan baru bagi perniagaan arak dan premis judi di sekitar bandar Teluk Intan.

Hadir sama adalah Yang DiPertua PAS Teluk Intan, Ustaz Ismail Che Nik bersama Jawatankuasa Harian PAS Teluk Intan. – HARAKAHDAILY 26/7/2020