Isu KFA akan diselesai dengan keupayaan sendiri

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah menegaskan tidak akan menggunakan sebarang peruntukan kewangan termasuk wang kebajikan rakyat bagi memulihkan kemelut yang dihadapi Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kemelut yang dihadapi KFA sebelum ini bukan tugasnya untuk menyelesaikan sebaliknya menjadi tanggungjawab presiden KFA sebelum daripada beliau.

Advertisement

“Masalah tersebut adalah tanggungjawab presiden KFA yang lepas. Beliau yang perlu menyelesaikannya. Kenapa masalah itu dirungutkan kepada saya? Saya baharu sahaja dua minggu menjadi presiden KFA.

“Dulu, siapa pun tak merungut pasal hal ini, peminat bola sepak pun diam sahaja. Sekarang nak merungut, memang tidak patutlah,” bidas beliau dalam sidang media yang diadakan sempena pelancaran Star View, Menara Alor Setar, di sini, pagi tadi.

Muhammad Sanusi berkata demikian bagi menjawab pertanyaan media mengenai tindakan beliau untuk menyelesaikan masalah  gaji dan lain-lain kewangan tertunggak yang dihadapi oleh persatuan terbabit.

Sehubungan itu, Presiden KFA itu menegaskan pihaknya tidak akan sesekali menggunakan wang rakyat hanya semata-mata menyelesaikan masalah yang dilakukan oleh kepimpinan lalu.

“Jangan fikir apabila lantik saya jadi presiden KFA, saya akan selesaikan masalah itu dengan menggunakan wang rakyat.

“Tidak sesekali! Saya Muhammad Sanusi Md Nor, tidak akan lakukannya,” tegasnya.

Menurutnya, kemelut persatuan bola sepak itu bukan sahaja melibatkan tunggakan gaji pemain malah melibatkan LHDN, KWSP dan juga para penyelia tiket-tiket pengangkutan dengan anggaran sejumlah ratusan ribu.

Katanya lagi, bekas presiden sebelum ini perlu bertanggungjawab di atas tindakannya yang membuat pelan kewangan KFA di luar kemampuan dengan  menandatangani kontrak dengan pemain hingga RM125,000.

“Kenapa beliau membuat perancangan tidak mengukur baju di badan sendiri. Tindakan itu ikut siapa? Hutang lama KFA berjumlah RM10.6 juta.

“Kalau KFA disaman, orang itulah kena tanggungjawab, saya selesai yang zaman saya sahaja,” ujarnya.

Justeru itu, katanya agenda mesyuarat KFA yang dijadualkan pada Ogos depan akan tertumpu kepada punca permasalahan yang berlaku sebelum ini, selain membuat beberapa pendekatan baru untuk kebaikan persatuan berkenaan.

“Andai perlu dilakukan overhaul, kita buat, kalau perlu potong gaji, akan cuba kita cadangkan. Andai mampu RM20,000 , kita bayar begitu.

“Siapa sanggup, boleh terus bersama KFA. Kalau yang memerlukan komitmen kepada hingga RM100,000, KFA buka ruang untuk mereka berhijrah ke tempat yang lebih baik kewangannya.

“Tetapi saya yakin, semua pemain sangat sayangkan Kedah dan memahami situasi yang dihadapi terutama berkenaan Covid-19 ini,” kata Muhammad Sanusi.

Tambahnya, beliau akan memastikan tidak akan berlaku penganiayaan terhadap para pemain bola sepak Kedah namun pihak yang menimbulkan masalah berkenaan perlu bertanggungjawab. – HARAKAHDAILY 26/7/2020